Jumaat, 4 November 2016

Pandikar: Tak ‘gentleman’ bocor rahsia kerajaan....

Speaker berkata Ahmad Husni Hanadzlah, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal sepatutnya bersuara dalam mesyuarat Jemaah Menteri, bukannya selepas tersingkir.
pandikarKUALA LUMPUR: Jadilah seorang “gentleman” dan jangan bocorkan rahsia kerajaan selepas meninggalkan Jemaah Menteri.
Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia beri nasihat itu kepada bekas menteri Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang didakwa membocorkan rahsia kerajaan.
Bercakap kepada pemberita di satu sidang media di Dewan Rakyat, Pandikar berkata mereka sepatutnya membangkitkan masalah itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri semasa mereka masih menjawat jawatan masing-masing.
“Kalau mereka ‘gentleman’, kenapa tak bersuara semasa dalam Jemaah Menteri? Mereka boleh sahaja tidak bersetuju dan letak jawatan.
“Sebaliknya, selepas tersingkir baru mereka bangkitkan isu ini kepada orang awam.”
Pandikar seterusnya mempersoalkan motif 3 bekas menteri yang didakwa membocorkan maklumat sulit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat.
“Kita, selaku ahli Parlimen bermaruah, tak elok kalau menyorok sebalik kekebalan Parlimen dan membawa masuk agenda peribadi ke dalam Dewan Rakyat.
“Itu maknanya kamu bukan seorang ‘gentleman’.”

Pandikar menjelaskan amalan Dewan Rakyat United Kingdom tidaK membolehkan bekas menteri mendedahkan perkara yang berbangkit dalam Jemaah Menteri.
“Apabila seorang bekas menteri mendedahkan perkara yang berbangkit semasa beliau dalam Jemaah Menteri, ia boleh membawa akibat yang serius kepada perdana menteri sedia ada.
“Mengikut amalan Dewan Rakyat sana, seorang menteri letak jawatan jika tak bersetuju dengan kerajaan dalam perkara-perkara tertentu.”
Tiga bekas menteri itu disiasat polis selepas didakwa melanggar sumpah kerahsiaan dan melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi kerana bercakap mengenai isu yang mereka sedari semasa menjawat jawatan masing-masing.
Pandikar berkata bergantung kepada mahkamah untuk menentukan sama ada mereka melakukan kesalahan.
“Apabila kertas siasatan siap dan diserahkan kepada Peguam Negara, terpulang kepada beliau untuk ambil tindakan atau tidak.
“Saya tidak tafsir Perlembagaan dan statut. Tugas saya tafsir Peraturan Tetap.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA