Isnin, 7 November 2016

PANDANGAN JUJUR KEPADA NAJIB

Membaca kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO, Radzi Sheikh Ahmad yang mengatakan PPBM atau lebih senang disebut sebagai Bersatu, mampu memberi cabaran lebih sengit kepada UMNO berbanding Semangat 46, ia membuatkan saya tiba-tiba rasa terpanggil untuk bersikap jujur dan ikhlas kepada Najib Razak.

Dalam wawancara dengan sebuah akhbar Cina, Radzi dipetik sebagai memberi amaran kepada UMNO agar tidak memandang rendah kepada keupayaan Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin yang kini memimpin PPBM.

Katanya, cabaran yang bakal dihadapi UMNO akan lebih sengit berbanding tentangan Semangat 46 pada akhir tahun 80-an dahulu.
Bagi saya, kenyataan Radzi ini merupakan pandangan paling tidak jujur dan tiada keikhlasan kepada Najib. Dalam bahasa mudah, ia hanya mengarut saja.

Kenyataan yang benar-benar jujur dan ikhlas kepada Najib ialah pendangan menteri-menteri seperti Ismail Sabri Yaakob, Shabery Cheek, Salleh Said Keruak dan beberapa yang lain yang selalu menyebut bahawa PPBM tidak mampu ke mana-mana dan hanya akan menuruti sejarah Semangat 46 sahaja.

Ya...percayalah, PPBM ini kalau pun tidak menyamai sejarah Semangat 46, masa depannya tentu lebih buruk daripada itu. Tidak mungkin ia lebih hebat berbanding Semangat 46.

Bukankah yang memberi pandangan sedemikian adalah menteri-menteri yang hebat lagi bijaksana? 

Jadi, sudah tentu cakap mereka adalah benar semuanya.

Lagi pun, Nazri Aziz, seorang lagi menteri UMNO ada  mengatakan Tun Mahathir sudah tua, tidak upaya lagi dan baling gelas pun tak pecah.

Muhyiddin pula, kata Nazri, tidak ada pengaruh dan kekuatan pengaruhnya selama ini hanya kerana UMNO.

Maka, mana mungkin PPBM mampu memberi cabaran lebih besar kepada UMNO?

Sekali lagi saya ulang, ini adalah pandangan yang jujur dan ikhlas daripada saya. Saya harap Najib abaikan saja kenyataan Radzi ini, tidak perlu risau atau gundah gulana terhadap PPBM, Tun Mahathir atau Muhyiddin.

Ikut dan dengarlah apa yang dikatakan oleh Ismail Sabri, Shabery Cheek, Salleh Said Keruak, Nazri Aziz dan lain-lain pemimpin UMNO yang sentiasa jujur, ikhlas dan tiada sama sekali kepentingan peribadi mereka terhadap Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Najib juga jangan harus lupa dengan kata-kata ikhlas Nallakaruppan yang baru-baru ini diberi gelaran Tan Sri bahawa beliau mampu menandingi kehebatan Tun Mahathir dalam tempoh 10 tahun akan datang, malah dikatakan ada persamaan dengan Mahatma Ghandi.

Ini tentunya adalah kenyataan paling ikhlas Nalla terhadap kehebatan Najib dan ia dengan sendirinya membuatkan semua cabaran daripada PPBM, Tun Mahathir dan Muhyiddin akan tenggelam dengan sendirinya.

Maka, mahu apa lagi?

Cehh...berbanding Nalla, apa sangatlah dengan kata-kata Radzi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA