Selasa, 8 November 2016

Pakatan Umno-PAS semarakkan politik perkauman, kata Mujahid

Manakalah seorang ahli akademik berkata sistem pendidikan agama di Malaysia merupakan punca sebenar.
mujahidPETALING JAYA: Sebarang kerjasama PAS-Umno akan hanya menjadi penghalang ke arah mewujudkan suasana politik berbilang, menurut Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa.
Bekas pemimpin PAS itu berkata parti politik merupakan alat paling penting dalam melahirkan politik bebas perkauman.
Bagaimanapun, persekitaran itu sukar dicapai selama mana wujud parti berasaskan perkauman sempit.
“Apa-apa pakatan antara sebuah parti berasaskan kaum dan parti yang dogmatik akan hanya membawa politik ke belakang menuju politik perkauman yang lebih melampau,” kata Mujahid kepada FMT.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu mengulas komen Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam sebuah artikel diterbitkan Sinar Harian semalam.
Bekas ketua pegawai eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global itu berkata, politik kaum yang berleluasa hari ini akibat amalan tawar menawar dan kompromi yang dibuat atas nama kaum, khususnya oleh BN, sedangkan kerjasama berasaskan kaum yang elitis sudah hilang relevansinya dan perlu diubah.
“Jawapan Umno/BN ialah menggantikannya dengan konfigurasi ‘dominan Bumiputera’, iaitu politik ras yang lebih ekstrem.
“Tetapi, jika pakatan Umno-Pas menjadi kenyataan, maka ia berkemungkinan menjadi konfigurasi ‘dominan Bumiputera/Muslim’, iaitu lebih ekstrem lagi,” tulisnya.
Mujahid bersetuju dan berkata negara akan lebih berpecah belah sekiranya pakatan itu berjaya diwujudkan.
“Retorik Umno dan PAS memang selalu berkait bangsa dan agama,” katanya.
“Mereka memang mencanangkan sedemikian untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu supaya menyokong mereka dan mewujudkan kebencian terhadap bukan Melayu.”

Dalam nada sama, bekas dekan Universiti Teknologi Malaysia, Prof Tajuddin Rasdi berkata memperalatkan agama dalam menyemarakkan api perkauman demi kepentingan politik bukan sesuatu yang baru mahupun terhad kepada arena politik sahaja.
“Anda boleh membaca buku ‘Singapore Story’ karangan Lee Kuan Yew,” katanya kepada FMT, merujuk perdana menteri pertama Singapura.
“Lee sering menuduh pemimpin tertentu menggunakan agama mengapi-apikan perkauman,” kata beliau yang kini pensyarah senibina di UCSI.
Tajuddin bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan Saifuddin yang mengatakan ketegangan kaum di Malaysia berpunca daripada agenda parti politik tertentu.
Sebaliknya, beliau menyalahkan sistem pendidikan agama yang terserlah dalam pembelajaran di sekolah dan universiti, di samping ceramah agama yang menurutnya mewujudkan idea “umat Islam menentang seluruh dunia” di kalangan umat Islam Malaysia.
Menurutnya, ketegangan kaum akan wujud selagi masalah sistem pendidikan demikian tidak diberikan perhatian.
“Walaupun ahli politik cuba berbuat baik, tetapi sekiranya mereka tidak tahu beberapa aspek asas pendidikan, ketegangan agama dan kaum akan terus kekal,” katanya.
Tajuddin bagaimanapun mengakui guru agama dan pendakwah tidak sengaja menyebarkan fahaman perkauman, kerana mereka juga hasil sistem bermasalah yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA