Ahad, 13 November 2016

Pakatan tak akan bertahan walaupun bertambah besar, kata BN

MCA kata Dr Mahathir punya agenda peribadi, Umno kata 4 parti PH tak dapat bersatu
Liow-Tiong-Lai-pakatan
PETALING JAYA: Blok pembangkang Pakatan Harapan tidak akan bertahan lama walaupun dengan pertambahan komponen baharu.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai malam tadi berkata rancangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menyertai perikatan Pakatan Harapan sekadar perkahwinan untuk kesenangan semata-mata untuk pilihan raya umum akan datang.
“Mereka akan berpisah selepas pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas himpunan tahunan MCA. “Rakyat kenal siapa Mahathir. Beliau ada agenda peribadi.”
Penyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menuduh Dr Mahathir mahu anaknya diangkat menjadi perdana menteri bagi menjaga kepentingan keluarga dan penyokongnya.
Bekas presiden Umno itu dan bekas timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan PPBM pada September dalam usaha untuk menyingkirkan Najib.
Dr Mahathir menyeru pembentukan barisan pembangkang yang bersatu untuk menewaskan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun tidak menyakini masa depan PH walaupun dengan saiz yang lebih besar.
“Semoga berjaya. Terpulang mereka mahu bekerja bersama atau tidak. Kita akan bekerja lebih keras,” katanya malam tadi.
“Saya ramal mereka tidak akan tahan lama. Akhirnya mereka akan berpecah kerana masing-masing mempunyai prinsip dan pandangan yang berbeza.”

Katanya, walaupun PPBM menyertai PKR, DAP dan Amanah dalam satu pakatan, perikatan 4 parti itu tidak mungkin dapat bersatu lantaran perbezaan mereka.
“Mereka semua ada agenda tersendiri. Mereka tidak ada integriti atau prinsip. Mereka saling mengata dan kini duduk bersama,” katanya.
Katanya hanya Umno yang menyatukan mereka. “Alasan itu tidak boleh digunakan untuk meyakinkan rakyat. Mereka tak tawarkan apa-apa yang boleh menyakinkan rakyat. Saya belum nampak satu dasar yang bermakna daripada perikatan itu,” katanya dipetik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA