Khamis, 10 November 2016

Pakar ekonomi gesa mansuhkan kategori terkecuali GST

Firdaos Rosli berkata kategori terkecuali menyebabkan perniagaan menanggung kerugian dan pengguna terpaksa membayar lebih
firdaus-rosli-1
PETALING JAYA: Kerajaan disaran supaya permudahkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan memansuhkan kategori kadar terkecuali, kata pakar ekonomi Firdaos Rosli.
Felo ekonomi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) itu berkata GST secara ideal ditumpukan kepada kadar terpiawai dan kadar sifar sahaja.
Firdaos menjelaskan barangan dan perkhidmatan berkadar sifat dikenakan kadar GST sifar kerana perniagaan terbabit boleh menuntut kredit cukai.
Bekalan kadar terkecuali pula bermakna GST tidak dikenakan ke atas barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan, tetapi perniagaan terbabit tidak boleh menuntut GST untuk aset, pembelian dan perbelanjaan.
“Dalam hal kadar terkecuali, pembekal tidak boleh memindahkan GST kepada pengguna mereka, jadi apa yang mereka lakukan?
“Seandainya mereka bermurah hati, mereka akan menyerap cukai itu, jika tidak mereka akan pindahkan kos kepada pelanggan dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan,” kata Firdaos kepada FMT.
Oleh itu, kata Firdaos, beliau tidak bersetuju dengan kategori terkecuali kerana ia akan menyebabkan pembekal menyerah kerugian atau pengguna terpaksa membayar lebih lantaran kenaikan harga buatan.
Kategori terkecuali, katanya, akan menimbulkan kesulitan di masa depan apabila barangan atau perkhidmatan berkenaan dikeluarkan daripada senarai terkecuali dan dimasukkan dalam senarai kadar terpiawai, kerana memerlukan pengubahsuaian dan boleh mengundang kemarahan.

“Lebih baik sekiranya barangan dan perkhidmatan dikategorikan sebagai kadar terpiawai dan kadar sifar supaya orang ramai boleh menyesuaikan diri sekali sahaja.
Tambahnya kategori tambahan hanya akan mengenakan kos kepada pengguna kerana lebih banyak sumber digunakan untuk memastikan perniagaan patuh.
Wang yang djimatkan itu, kata Firdaos, boleh disalurkan semula ke program yang memanfaatkan rakyat.
“Kita perlu permudahkan. GST tak salah, banyak negara amalkan GST.”
Semasa pembentangan Bajet 2017 bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerjaaan mengutip hampir RM30 bilion GST antara April 2015 dan 19 Oktober tahun ini.
Najib berkata kadar GST 6% tidak akan dinaikkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA