Isnin, 14 November 2016

Padan muka ‘Pinocchio’, kata Zuraida kepada Jamal

Pemimpin PKR itu berkata bukti jelas menunjukkan penyokongnya tidak mendatangkan kecederaan kepada Jamal dalam pergelutan di Ampang Point semalam.
zuraida-jamal-1
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin hari ini membandingkan kecederaan di bahagian hidung yang dialami Datuk Jamal Yunos ketika satu pergelutan dengan polis di Ampang Point semalam dengan watak dalam Pinocchio, cerita dongeng mengisahkan anak patung yang memiliki hidung ajaib yang memanjang setiap kali ia berbohong.
“Hidung Jamal bertambah panjang setiap kali dia terlanggar sesuatu dan berdarah,” kata Zuraida dalam kenyataannya pagi ini.
Ahli Parlimen Ampang itu bersama beberapa penyokongnya berada di pusat beli belah Ampang Point petang semalam bagi mengedarkan risalah Bersih 5, ketika sekumpulan diketuai Jamal mula mengherdiknya dalam usaha kumpulan Baju Merah menghalang perhimpunan November 19 anjuran Bersih 2.0 itu.
Jamal yang tercedera di hidungnya ketika pergelutan dengan beberapa beberapa pegawai polis, dirakam dalam sebuah klip video menjerit beberapa kali “Polis pukul saya”.
Tidak lama selepas itu, ketua Umno Sungai Besar itu bagaimanapun menuduh seorang penyokong Bersih bertanggungjawab atas kecederaan itu.
“Tiba-tiba seorang lelaki berbaju kuning menumbuk saya. Hidung saya berdarah sebab itu,” katanya yang berazam “membayar balik dengan darah”.
Zuraida berkata tidak ada sesiapa akan mempercayai tuduhan Jamal itu.
Sebaliknya, beliau berkata Jamal hanya mengundang kecederaan itu ke atas dirinya.
“Padan muka! Si pembuli besar dan pembohong itu layak menerimanya,” kata Zuraida yang menuduh Jamal suka membuli wanita termasuk Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.
Zuraida berkata beliau tidak bimbang dengan aduan polis Jamal kerana yakin pemimpin Umno itu akan didakwa membuat laporan polis palsu.

“Bukti terpampang untuk semua menilainya,” kata Zuraida dan menambah akan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan bukti termasuk rakaman video.
Zuraida turut memuji polis Ampang yang menurutnya bertindak profesional.
Jamal sebelum ini berkata pihaknya akan “melakukan apa sahaja” bagi menghalang perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur, yang bertujuan memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
“Apa sahaja yang akan berlaku saya tidak peduli, isu keselamatan menjadi nombor 2 dalam senarai kami. Bagi kami, ia adalah penting untuk menghalang mereka dalam apa jua cara,” kata Jamal kepada FMT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA