Khamis, 17 November 2016

PAC: Siasat ketirisan program basmi kemiskinan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mencadangkan agar Program Akhiri Zaman Miskin
(1Azam) disiasat berikutan kelemahan dalam pelaksanaan yang membawa kepada ketirisan.
Jawatankuasa itu mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyiasat perkara berkenaan.
Pada tahun 2013 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka siasatan ke atas program 1Azam atas dakwaan dananya disalahgunakan.
Antara mereka yang disoal adalah Suhaimi Ibrahim, bekas setiausaha politik kepada bekas menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang laporan bahawa kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
PAC mula menyiasat 1Azam selepas Jabatan Audit mendedahkan beberapa kelemahan dalam program itu.
Antaranya, tidak ada justifikasi diberikan bagi pelantikan 22 pembekal untuk peralatan berjumlah RM8 juta.
Laporan audit juga mendapati bahawa projek perladangan cili RM1 juta yang melibatkan 100 orang tidak memberikan sebarang pulangan.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kemudiannya menjelaskan bahawa tiada dividen dibayar untuk projek kelompok ini disebabkan oleh kejatuhan harga cili, dan juga disebabkan tanaman yang tidak menjadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA