Selasa, 1 November 2016

PAC desak ketua audit negara semak 1BestariNet sekali lagi

Dalam laporan yang dibentangkan di Dewan rakyat hari ini, ia berkata ada banyak perbelanjaan yang mencurigakan berkaitan projek itu.
1BestariNetKUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta Jabatan Audit Negara membuat semakan kedua terhadap projek kerajaan 1Bestarinet di semua sekolah di seluruh negara.
Dalam laporan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, ia berkata ada banyak perbelanjaan mencurigakan dan kelemahan pengurusan kontrak.
“PAC tidak boleh menerima alasan dikemukakan Kementerian Pendidikan mengenai ketidaksedaran mengenai pekeliling berhubung ‘Value Management Lab’,” menurut laporan itu.
Jawatankuasa itu juga meminta ketua audit negara melakukan audit susulan secara keseluruhan.
Selain itu, jawatankuasa berkenaan berkata ia akan melawat sekolah di bandar dan luar bandar untuk melihat pelaksanaan projek itu.
PAC juga meminta ketua audit negara menyemak terma dan syarat kontrak 1BestariNet untuk memastikan kepentingan kerajaan dilindungi.
Sebelum ini, PAC meminta Kementerian Pendidikan membatalkan projek 1Bestarinet bernilai RM4.1 bilion di semua sekolah di seluruh negara kerana fasa pertama projek itu tidak dilaksanakan dengan baik.
Ini kerana jawatankuasa itu berpendapat fasa pertama projek itu, meskipun dilengkapkan pada kos RM633 juta, ia tidak memberi keputusan yang diharapkan kerana perkhidmatan yang sepatutnya tidak dapat disampaikan dengan baik.

Projek itu diberikan kepada YTL Communications Sdn Bhd menerusi tender terbuka. Projek itu menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar 4G di semua 10,000 sekolah di negara ini tetapi tidak menepati sasaran apabila murid, guru dan ibu bapa masih belum dapat mengakses sistem berkenaan.
Inkuiri PAC juga turut memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Madinah Mohamad.
Projek 1Bestarinet yang dijangka siap sepenuhnya bagi tempoh 15 tahun untuk 3 fasa, menjadi perhatian apabila Laporan Ketua Audit Negara 2013 menunjukkan ada penyelewengan dalam pelaksanaannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA