Rabu, 30 November 2016

Orang Asli: Kerajaan Kelantan diselar, MB seru jangan campur tangan

Aktivis Orang Asli menyelar penggunaan pihak berkuasa dan polis oleh kerajaan negeri untuk menamatkan sekatan oleh penduduk yang mahu mempertahankan tanah warisan mereka.
ahmad-yakob_orangasli_26001
PETALING JAYA: Pelbagai pihak mengecam penahanan lebih 40 Orang Asli di Kelantan yang terlibat sekatan laluan balak di 3 lokasi di Gua Musang, dan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menggunakan pihak berkuasa memaksa protest penduduk ditamatkan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mempertahankan tindakan itu dan berkata pihaknya menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada Jabatan Perhutanan dan polis.
“Isu penangkapan yang berlaku tadi sewajarnya diserahkan kepada kebijaksanaan pihak polis dan tidak seharusnya dicampur tangan oleh mana-mana pihak sehingga siasatan yang dijalankan selesai,” kata Yakob dalam reaksinya malam tadi.
Presiden Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA), Bob Manolan Mohamad, mendakwa kerajaan Kelantan, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pegawai penguatkuasa lain menggunakan kekerasan dalam melakukan serbuan semalam.
“Siapa yang akan menyara makan minum mereka? Lebih menyedihkan lagi kenapa turut mengangkut motosikal mereka?” katanya dalam satu kenyataan.
Sehingga jam 6 petang semalam, seramai 41 Orang Asli yang terlibat membuat sekatan sejak September di tahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang.
Bob berkata kerajaan Kelantan sepatutnya prihatin dengan isu melibatkan Orang Asli, dan menuntut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengotakan janjinya berjumpa dengan penduduk Orang Asli.
“Sepatutnya janji mesti dikota seperti yang telah dijanjikan sebelum ini Ttimbalan menteri besar akan turun ke lokasi untuk berbincang dengan Orang Asli Gua Musang,” katanya.
Orang Asli di Gua Musang menubuhkan sekatan bagi menghalang pembalak menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan Wilayah Tanah Adat Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang.
Sebanyak 3 halangan dibina iaitu di Simpang Petei berhampiran Pos Gob, Betau Cawas berhampiran Pos Bihai dan Kelawong di Pos Pasik.
Semalam, kira-kira 3 minggu selepas diberi notis mengosongkan kawasan itu, kira-kira 100 pegawai Jabatan Hutan, polis dan Pasukan Gerak Am (PGA) dan lebih 20 kenderaan pacuan 4 roda masuk ke Simpang Petei dan Betau Cawas, dan menahan seramai 41 Orang Asli.
Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) mempersoalkan penahanan mereka yang dipercayai di bawah Seksyen 84, Akta Perhutanan Negara, iaitu memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang.

“Kenapakah ia dikuatkuasakan sedangkan Orang Asli bukan baru menduduki dan menggunakan kawasan tersebut?” soal Pengerusi JKOASM, Tijah Yok Chopil dalam kenyataannya awal pagi tadi.
“Kenapa mereka digempur dan ditangkap seolah-olah mereka penjenayah?
“Intimidasi dengan cara kekerasan lisan yang digunakan oleh pihak polis, PGA dan Jabatan Hutan ketika berdepan dengan Orang Asli amat biadap dan tidak berhemah sedangkan mereka hanya mempertahankan kawasan wilayah tanah adat mereka tanpa senjata dan atau kekerasan,” kata Tijah.
Tijah berkata menteri besar Kelantan perlu turun melihat kemusnahan “akibat kerakusan aktiviti pembalakan”.
Katanya, kesan buruk daripada aktiviti pembalakan itu bukan sahaja dirasai penduduk di situ malah turut menyebabkan banjir banjir besar di Kelantan pada 2014.
“Adakah kerajaan negeri Kelantan masih enggan menerima hakikat ini? Adakah wang ringgit hasil pembalakan lebih penting daripada nasib dan hak rakyat?”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA