Rabu, 16 November 2016

NUTP: Guru perlu neutral, tak boleh sertai sebarang perhimpunan

Kamarozaman berkata, tanggungjawab guru ialah mengajar dan membina bangsa, bukannya bertindak mengikut arus politik serta menyertai perhimpunan haram.
Kamarozaman-Abd-Razak
PETALING JAYA: Tidak kira perhimpunan Bersih atau gerakan Baju Merah, guru dilarang menyertai mana-mana perhimpunan yang tidak mendatangkan kepentingan kepada penjawat awam, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
“Memang dalam akujanji, kita tidak dibenarkan berhimpun. Sebab kita ini penjawat awam yang mesti berada di mana-mana (pihak) kerajaan, termasuk kerajaan pemerintah dan kerajaan negeri tersebut.
“Kalau menyertai himpunan Bersih ini salahlah dari segi etika penjawat awam. Apa keperluan kita nak berhimpun?
“Apa-apa perhimpunan untuk kepentingan kita tidak apa. Tetapi, Bersih ini kita tidak tahu adakah kepentingan itu untuk sebelah kebaikan atau tidak,” kata Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak kepada FMT hari ini.
Beliau mengulas amaran Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada guru-guru supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih.
Semalam, Mahdzir berkata, guru dan penjawat awam lain akan dikenakan tindakan tatatertib seperti digantung tugas, sekiranya didapati menyertai perhimpunan Bersih.

Kamarozaman berkata, golongan pendidik dan penjawat awam lain perlu bersikap neutral, tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan.
“Kita tidak mementingkan mana-mana pihak kalau berpolitik. Sekarang Baju Merah dan baju kuningkan? Guru kena berada di tengah-tengah dan tidak boleh berpihak mana-mana.
“Saya selaku presiden NUTP tidak membenarkan ahli-ahli kita sendiri, walaupun dia menyertai (himpunan) merah, kuning, hijau, apa-apa warna kita tidak benarkan.
“Apa-apa tindakan tanggung sendiri. Yang penting kita mengajar dan membina bangsa, bukan buat apa-apa mengikut arus politik,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, guru boleh menyuarakan pandangan mereka melalui saluran betul, bukannya dengan menyertai demonstrasi jalanan.
“Guru-guru perlu beri contoh baik. Demonstrasi jalanan kemungkinan mendatangkan kemudaratan itu bukan adat kita. Adat ketimuran yang baik patut bersopan dan ikut tatasusila yang betul. Tidak timbulkan ketegangan,” katanya.
Perhimpunan Bersih 5 dijadual berlangsung pada Sabtu ini bagi menuntut pembaharuan politik dan peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos turut berjanji akan mengadakan perhimpunan balas pada hari sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA