Isnin, 21 November 2016

Nurul Izzah: Sosma tak sepatutnya digunakan, termasuk pada Jamal Yunos

Naib presiden PKR berkata Sosma juga tidak sepatutnya digunakan terhadap pengganas kerana undang-undang sedia ada mampu menangani keganasan.
Nurul-IzzahKUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar berkata Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 tidak sepatutnya digunakan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, atau pun terhadap Datuk Jamal Yunos sekalipun.
Naib presiden PKR itu berkata meskipun beliau tidak suka kepada ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu, beliau tidak tergamak sesiapa pun diletakkan dalam situasi tahanan di bawah Sosma.
“Terus terang saya katakan, tidak kira betapa saya benci Jamal Yunos dan kata-katanya, saya tidak suka sesiapa pun tertakluk di bawah Sosma,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Maria ditangkap pada Jumaat kerana melakukan aktiviti yang memudaratkan kepada demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan, dan kemudian ditahan di bawah Sosma.
Beliau kini ditahan dalam kurungan di lokasi yang tidak didedahkan dengan mentol lampu dipasang 24 jam.
Nurul Izzah berkata undang-undang keselamatan yang menindas itu tidak sepatutnya digunakan terhadap pengganas kerana sudah ada undang-undang sempurna untuk menangani keganasan dalam negara.
“Malah jika anda bercakap mengenai individu yang berpotensi jadi pengganas, dakwa saja mereka di mahkamah.
“Ada cara yang sesuai dan kedaulatan undang-undang untuk menangani perkara ini,” katanya.
Pengerusi Amanah Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata meskipun Jamal membuat kenyataan berbaur ugutan menjelang himpunan Bersih 5, tidak ada sesiapa pun sepatutnya ditahan di bawah Sosma.
“Kami tidak akan membiarkan sesiapa pun disiasat di bawah Sosma, bukan Maria atau pun Jamal.
“Akta itu hanya sepatutnya digunakan terhadap pengganas,” katanya.
Bagaimanapun, Raja Bahrin berkata kenyataan Jamal sebelum ini patut dilabel sebagai menghasut.
“Dia guna perkataan cincang dan menyindir yang penyokongnya lapar.
“Ia seperti dia cuba menyatakan penyokongnya boleh amuk hanya kerana mereka lapar. Kenyataannya itu boleh dianggap menghasut,” katanya.
Jumaat lalu, Jamal ditahan reman 4 hari untuk membantu siasatan polis berhubung pertembungan antara penyokong PKR dan Baju Merah di Ampang Point, pada Ahad sebelumnya.
“Sekarang, bagaimana kerajaan boleh beri jaminan yang Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak akan digunakan terhadap mereka yang menyuarakan bantahan kami.
“Ini kebimbangan kami. Jika Sosma juga boleh disalah guna, bagaimana pula dengan MKN,” kata Raja Bahrin.
Sementara itu, Raja Bahrin turut menafikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merampas himpunan Bersih 5 pada Sabtu lalu.
Katanya, keseluruhan gerakan Bersih ialah satu proses yang panjang membabitkan banyak pembangkang dan pemimpin NGO.

“Sebelum 19 November, kami memulakan konvoi 7 minggu di jalanan. Jadi kami melihat Bersih 5 sebagai satu proses panjang dan kesedaran ramai mengenai himpunan itu sangat ketara,” katanya.
Katanya, Dr Mahathir dan Muhyiddin hanya bercakap kira-kira 10 minit ketika berucap di himpunan Bersih 5.
“Jadi membandingkannya dengan konvoi 7 minggu, ia sangat berbeza.
“Dan juga, pemimpin lain lebih banyak bercakap berbanding Dr Mahathir dan Muhyiddin. Saya sendiri, saya bercakap di Terengganu sebanyak 5 kali.
“Pendek kata, ia hanya boleh dikatakan dirampas jika mereka (Dr Mahathir dan Muhyiddin) merempuh masuk dan berucap panjang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA