Rabu, 9 November 2016

Nik Abduh: Ada gerangan yang mahu Pas dan Umno Bersatu


Nik Mohamad Abduh NIk Abdul AzizNik Mohamad Abduh NIk Abdul AzizAda gerangan yang benar-benar mahukan Pas dan Umno bersatu, iaitu mereka yang benar-benar mahukan kesatuan umat Islam di atas tali agama lalu mampu memerintah bersama, kata ketua pemuda Pas Malaysia, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz.
Beliau berkata, matlamat Pas adalah untuk menyatukan umat di atas tali agama Islam yang kukuh dan lurus.
Pas tegasnya, bukan untuk orang Pas sahaja tetapi untuk umat Islam dan seluruh rakyat.
“Kepada yang ikhlas menanti dan mengharap, saya berpesan, bersamalah berjuang. Tiada perjuangan tanpa kesabaran. Tiada kesabaran tanpa kesakitan dan keperitan.
"Penyakit umat masih banyak. Kejahilan, keakuan, kesempitan fikir, kedegilan, keengganan, kepura-puraan, ketakutan dan kebusukan hati masih memanjang dan menggigit keaslian dan kejatidirian umat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli parlimen Pasir Mas itu juga berkata, ada dua lagi golongan yang mahu Pas dan Umno bersatu.
Pertama, menurut beliau ialah yang mahukan Umno kekal memerintah dan Pas turut berada dalam kerajaan campuran sebagai rakan bagi menyelamatkan Umno BN.
Kedua, katanya, yang mahukan Pas hancur bersama Umno akibat bersekongkol dengan kerosakan dan kezaliman UmnoBN yang kian ditolak rakyat.
Dengannya, mereka akan berjaya membina kerajaan baru tanpa Pas dan perjuangan Islam.
“Saya berkata, Pas terlalu menyedari tipu daya dan makar ini. Pas tidak akan terjebak dengan politik murahan yang terlalu ‘kedarah kuasa’ sebegini. Bahkan Pas akan sentiasa memburu kuasa politik dengan sejahtera dan berdisiplin tinggi tanpa merosakkan kesatuan umat dan segala kebaikan yang telah sedia tumbuh mekar di bumi Malaysia ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA