Selasa, 29 November 2016

NGO: Al Jazeera boleh, kenapa kerajaan tak kesan kes jual bayi?

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia berkata, tiada gesaan bertindak segera memberi gambaran kerajaan amat lemah dalam melaksanakan tanggungjawab membela nasib rakyat dan membanteras jenayah.
ikram_bayi_600
PETALING JAYA: Pertubuhan Ikram Malaysia mempersoalkan kenapa pihak berkuasa Malaysia yang mempunyai segala kemudahan dan latihan, tidak dapat mengesan kewujudan sindiket menjual bayi, sebaliknya stesen televisyen asing Al Jazeera yang mampu mendedahkan jenayah itu.
Ketua Wanita NGO itu berkata, keadaan bertambah buruk selepas jenayah sindiket itu terbongkar kerana tiada gesaan untuk bertindak segera, walaupun bukti jelas dikemukakan, termasuk pengiklanan terbuka penjualan bayi di media sosial dan pembabitan individu berpengaruh seperti doktor dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara.
“Ini memberi gambaran pihak kerajaan tersangat lemah dalam melaksanakan tanggungjawab membela nasib rakyat dan membanteras jenayah.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita merasa sangat malu dan gelap masa depan negara di atas kejadian tidak bermoral berlaku di negara ini yang terkenal sebagai negara Islam maju lagi progresif.
“Lebih mengecewakan apabila didapati kenyataan balas daripada pihak kementerian berkenaan sangat lemah dan tidak bermaya untuk memberikan respons lebih serius terhadap kepincangan yang berlaku,” kata Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Al Jazeera menerusi program 101 East membongkar sindiket penjualan bayi di Malaysia membabitkan pengedar, doktor dan pegawai kerajaan, semuanya mengaut keuntungan daripada wanita dan kanak-kanak, selepas penyamaran lebih 4 bulan.
“Malaysia: Bayi untuk dijual” disiarkan di rangkaian TV antarabangsa itu pada pagi Jumaat lalu (waktu Malaysia).

Che Asmah yang bimbang dengan masa depan bayi berkenaan menggesa kerajaan menyiasat segera kes penjualan bayi itu sehingga semua individu dan agensi terbabit didakwa, selain memfokuskan usaha membela kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat, termasuk pekerja asing di negara ini.
“Usaha membanteras gejala sosial serta mengurangkan tekanan hidup rakyat perlu diberi keutamaan kerana ia antara punca kegiatan tidak bermoral seperti penjualan bayi ini.”
Katanya, kerajaan juga perlu mempergiatkan usaha membanteras budaya rasuah dalam pentadbiran negara dan membangunkan jati diri rakyat bagi mengelakkan jenayah dan bencana akibat kerakusan manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA