Isnin, 14 November 2016

NAJIB PERLU NASIHATI JAMAL ATAU LOKAPNYA SEBELUM 19 NOV, BERSIH 5 HARUS DIBIAR BERJALAN AMAN

Setelah berdarah hidung, pemimpin Kumpulan Baju Merah, Jamal Md Yunus tidak mustahil akan bertindak lebih agresif pada perhimpunan Bersih 5, 19 November ini meskipun beliau sebenarnya masih samar siapa yang menumbuk mukanya.

Lebih-lebih lagi beliau juga terlihat membuat ugutan "darah mesti dibalas dengan darah" dan "mahu mencincang" mereka yang mencederakannya itu.

Dalam hal ini, Jamal secara mutlak tidak sesuai dan tidak layak untuk berkecimpung dalam politik. Politik ialah tentang hujah dan sejauh mana seseorang itu  mampu menggunakan akal fikiran. 
Politik bukan untuk berada tenaga. KLCC dan Putrajaya tidak mungkin terbina kerana kekuatan tenaga, melainkan melalui keupayaan berfikir yang luar biasa.

Hasratnya melawan perhimpunan baju kuning dengan suatu perhimpunan baju merah pada tarikh, masa dan tempat yang sama tidak seharusnya berlaku dan dibenarkan. Ia hanya mengundang malapetaka. 

Bukan begitu cara menunjuk kekuatan atau ingin membela Najib Razak, malah imej Perdana Menteri dilihat bertambah buruk dan jelik di pandangan umum kerana perlakuan Jamal yang sedemikian.

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika Jamal dan Baju Merah terus dibiarkan berbuat sesuka hatinya. Untuk itu, menjelang perhimpunan 19 November nanti, sesuatu perlu dilakukan terhadapnya.

Pertama, Najib sendiri perlu menasihati Jamal agar menghentikan segala aksinya. Dalam Najib selalu menyebut wassatiyah dan kesederhanaan serta kedudukannya yang sudah sedia buruk di mata rakyat dengan pelbagai isu, kelakuan Jamal hanya menghodohkan lagi wajah diri, parti dan kerajaan yang dipimpinnya.

Tidak ada kebaikan dan kelebihan sama sekali disumbangkan oleh Jamal. Sebab itu, daripada 191 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara, Jamal hanya bersendirian dan tiada wajah pemimpin lain yang tampil bersamanya.

Najib tidak ada pilihan, titik noktah mesti diberikan kepada Jamal. Biarkanlah Bersih 5 mengadakan perhimpunannya dengan aman dan serahkan kepada pihak polis menjaga keamanan di negara ini sepenuhnya.

Keberadaan Jamal secara bebas pada hari perhimpunan bersih diadakan hanya akan mengundang kekacauan dan bukannya menyumbang kepada keamanan.

Kedua, berdasarkan ugutan, ancaman dan kemungkinan Jamal bertindak di luar jangkaan, pihak polis harus menahannya di lokap polis sebelum 19 November itu.

Berilah peluang beliau berehat dan bersantai di lokap polis pada tarikh tersebut. Beberapa individu lain yang selalu dilihat bersamanya dan  ada kemungkinan ada mencetuskan kekacauan,  juga perlu ditahan dan disimpan di dalam lokap.

Hanya dengan demikian, perhimpunan bersih akan berjalan dengan aman. Perhimpunan bersih bukan untuk mencetuskan kekacauan atau merosakkan harta awam. Mereka hanya ingin meluahkan perasaan. Perhimpunan sebelum ini telah terbukti aman dan tenteram jika tiada provokasi dan gangguan.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Najib atau pihak polis harus bertindak dengan segera. Jika tidak, tanggapan ramai ialah Perdana Menteri sendiri merestuai dan suka dengan perlakuan Jamal dan Baju Merah selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA