Ahad, 27 November 2016

Najib nafi khabar angin pilihan raya lebih awal

Perdana menteri menekankan beliau tidak ingin bertindak tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya tambahan pula dengan keadaan semasa yang membimbangkan rakyat Malaysia.
najib-spr
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam memberitahu yang beliau “tidak semestinya” mengadakan pilihan raya lebih awal pada tahun depan, walaupun desas desus kuat mengatakan beliau akan bertindak demikian memandangkan perpecahan yang berlaku di kalangan pembangkang.
Malaysia dijangka mengadakan pilihan raya pada Ogos 2018, dan seorang pegawai kerajaan memberitahu Reuters yang Najib boleh mengadakan pilihan raya pada separuh ke-2 2017.
Tetapi dalam satu temu bual disiarkan dalam The Star pada Ahad, Najib berkata beliau tidak tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya tambahan pula dengan keadaan semasa yang membimbangkan rakyat Malaysia.
“Tidak semestinya … ia boleh diadakan lewat,” kata Najib ketika ditanya sama ada pilihan raya akan diadakan pada tahun depan.
“Dengan keadaan ekonomi hari ini, ia akan menjadi satu cabaran kerana anda tidak melihat ekonomi dunia berada dalam aliran meningkat. Keadaan akan lebih kurang sama pada tahun akan datang, seperti tahun sebelum ini,” kata Najib.
Najib berhadapan dengan gesaan untuk meletak jawatan berikutan skandal yang melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan tindakan undang-undang pada Julai dengan mendakwa penyelewengan lebih AS$3.5 bilion daripada dana dan sebahagiannya mengalir ke dalam akaun “Pegawai Malaysia 1”, yang Amerika Syarikat dan pegawai-pegawai Malaysia kenal pasti sebagai Najib.
Bagaimanapun, Najib menafikan salah laku dan mengukuhkan kuasa dengan memecat pengkritik di dalam parti pemerintah dan menindas perbezaan pendapat.
Pengkritik utama beliau adalah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut bekerjasama dengan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menubuhkan parti baru.
Namun kegagalan parti Islam utama menyertai usaha parti pembangkang yang berkempen terhadap Najib, menjadikan sukar bagi mereka untuk mendapatkan lebih banyak sokongan di kalangan orang Melayu.
Pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 5 tahun bagi kesalahan liwat dipercayai bermotifkan politik oleh penyokong dan ramai pemerhati.

Melihat ke hadapan, Najib berkata beliau menjangkakan pemulihan dalam pendapatan minyak dan gas untuk membantu negara.
“Saya berfikir harga minyak mungkin akan berada pada tahap lebih tinggi sedikit, bukan pada paras tertinggi, antara AS$60 hingga AS$70 setong, adalah tahap yang selesa untuk kita,” katanya.
Ekonomi Malaysia terjejas teruk dengan kejatuhan harga minyak. Kemerosotan mata wang ringgit baru-baru ini kepada hampir 14 bulan berturut-turut juga menimbulkan kebimbangan.
Dalam temu bual dengan The Star, Najib juga berkata perjanjian perdagangan bebas bagi rantau Asia Pasifik adalah penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan, pelaburan dan kekayaan.
Presiden baru dipilih Donald Trump berkata beliau akan menarik balik penglibatan Amerika Syarikat daripada perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), yang tidak termasuk China di dalamnya.
Dan Najib berkata jika TPP tidak berjaya dilaksanakan, beliau berharap persetujuan boleh dicapai dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perjanjian perdagangan disokong China yang tidak melibatkan Amerika Syarikat.
“Jika TPP menerima respons negatif, maka RCEP mesti dimuktamadkan, lebih awal lebih baik dan saya berfikir secara realistik kita bercakap tentang akhir 2017,” kata Najib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA