Isnin, 28 November 2016

NAJIB, JEMPUTLAH HADI AWANG JADI TETAMU PERHIMPUNAN AGUNG UMNO!!

Setelah tampil sedondon berbaju merah jambu beberapa bulan yang lalu, Najib Razak dan Hadi Awang sekali lagi akan duduk di atas pentas yang sama - kali ini dalam suatu perhimpunan raksasa berkaitan Rohingya pada 4 Disember akan datang nanti.

Sebelum itu, ikatan kemesraan antara UMNO dan Pas yang menghadapi pelbagai cemuhan, turut dirapatkan lagi dengan persetujuan kerajaan memberi lampu hijau kepada Hadi Awang membawa  usul Akta 355 bagi tujuan memperkasa kuasa Mahkamah Syariah.

Meskipun usul tersebut sudah dibaca sebanyak dua kali, ia tetap ditangguhkan jua akhirnya. Tetapi, usul itu nyata telah merapatkan lagi hubungan mereka.
Dengan itu, bibit-bibit ke arah "perkahwinan" antara UMNO dengan Pas, sama ada secara "sembunyi-sembunyi" atau "terbuka rasmi", nampaknya sukar untuk dielakkan lagi.

Terutama bagi Najib dan UMNO, mereka terlihat ingin benar menunjukkan kepada umum dan jika boleh, mahu mengadakan "kenduri besar-besaran" mengenai "perkahwinan" dengan Pas itu.

Jika pada majlis Multaqa Ulama yang lalu, Najib dan Hadi berpakaian sedondon merah jambu, dalam perhimpunan Rohingya kali ini tidak mustahil kedua-dua pemimpin itu akan bersedondon sekali lagi.

Mungkin kali ini sama-sama berpakaian merah atau hijau atau barangkali juga  seperti kebanyakan "pengantin", warna tema putih yang menjadi pilihan.

Tetapi, yang pastinya Najib dan Hadi tidak mungkin memilih pakaian berwarna kuning hari tersebut.

Sebelum 4 Disember di mana Najib dan Hadi akan bergandingan di atas pentas Rohingya, UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agungnya bermula 29 November hingga 3 Disember.

Ramai kawan-kawan dalam UMNO, termasuk yang pernah menjadi Ketua Bahagian, Ahli Parlimen dan menteri, mencadangkan adalah amat molek jika Najib menjemput Hadi Awang untuk hadir sebagai tetamu rasmi Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

Kata mereka, dengan kehadiran Hadi Awang ke Perhimpunan Agung UMNO itu nanti, perhimpunan raksasa Rohingya sehari selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO pasti lebih meriah jadinya.

Dalam masa yang sama, dengan hadirnya Hadi Awang juga,  nama Najib sudah tentu akan melonjak sebagai lambang penyatuan Melayu, di sebalik isu 1MDB dan kemasukan wang beribu-ribu juta ke dalam akaun peribadinya.

Dengan kedudukan Hadi sebagai ulama besar dan seterusnya pemimpin nombor dua Kesatuan Ulama Sedunia, kehadiran beliau secara tidak langsung akan turut membersih dan menyucikan lagi Najib daripada segala kekotoran skandal yang pernah terpalit kepadanya.

Bersama dengan kenyataan Peguam Negara yang sudah membersihkan Najib dari sudut perundangan sebelum ini, sudinya Hadi Awang hadir,  jelas kawan-kawan dalam UMNO itu lagi, bukan setakat mampu membersih dan menyucikan, bahkan juga mewangi serta mengharumkan lagi nama Perdana Menteri.

Maka, saran mereka kepada Najib, jangan lepaskan peluang membawa Hadi Awang ke Perhimpunan Agung kali ini.

1 ulasan:

  1. Bukan saja hj hadi. Semua kepimpinan muda baru pas, jgn lupa juga mursyid am. Jgn malu2

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA