Khamis, 17 November 2016

Najib harap Baju Merah, Bersih tidak bertembung Sabtu ini

Perdana menteri berkata, protes ganas bukan budaya Malaysia.
najib
TOKYO: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyuarakan kebimbangannya berhubung kemungkinan berlaku pertembungan antara peserta himpunan Bersih 5 dan penyokong Baju Merah yang diketuai Datuk Jamal Yunos, pada Sabtu ini.
“Anda tidak boleh terbabit dalam sebarang pertembungan fizikal langsung. Ia tidak baik untuk kita dan itu bukan budaya yang kami mahu terima sebagai cara hidup di Malaysia,” kata perdana menteri yang dipetik Bernama di Tokyo sempena lawatan rasmi 3 hari ke Jepun yang berakhir hari ini.
Kenyataan itu susulan amaran Jamal yang gerakan Baju Merah akan membuat apa sahaja untuk mengganggu himpunan Bersih 5 anjuran Bersih 2.0 bagi mendesak Najib meletak jawatan susulan skandal 1MDB.
Sejak beberapa minggu ini, penyokong Baju Merah yang diketuai Jamal dilaporkan terbabit dalam pergelutan dengan penyokong Bersih dan polis.
Semalam, Jamal memberi amaran yang beliau tidak mampu mengawal penyokongnya apabila mereka berkumpul pada Sabtu ini.
“Mereka yang bercadang menyertai kami pada hari itu akan ‘lapar’,” katanya.

Selasa lalu, polis memberi amaran akan menggunakan semburan air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Baju Merah dan Bersih.
Dalam pada itu, Najib menasihatkan rakyat menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang untuk membuat pilihan mereka.
“Masa terbaik ialah membuat keputusan apabila tiba masanya. Akan ada pilihan raya dan rakyat boleh membuat pilihan dan kami akan patuhi keputusan rakyat. Itu penting,” katanya dipetik Bernama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA