Isnin, 28 November 2016

Mursyidul Am: 'Pas bukan gila kuasa'

Mursyidul Am: 'Pas bukan gila kuasa'
MIRSYIDUL Am Pas, Hashim Jasin baru-baru ini menyatakan parti itu sudah sedia untuk berbincang mengenai konsep satu lawan satu pada PRU14.
Sudah pasti apa yang disebutnya itu segera mendapat perhatian kerana umum mengetahui bahawa hubungan Pas dengan parti-parti pembangkang lain selama ini sememangnya diselubungi berbagai isu yang menjadi penghalang untuk pertandingan dua penjuru direalisasikan.
Mengikut logik politik, jika berlaku satu lawan satu, kedudukan BN mungkin tergugat.Namun jika sebaliknya, BN dipercayai akan kekal berkuasa berikutan perpecahan undi pembangkang.
Bagaimanapun, untuk mencapai tujuan itu, Pas tetap meletak syarat yang sekali gus menghadapkan realiti bahawa usaha ke arah itu masih perlu menempuh laluan yang berliku. Ikuti penjelasan Hashim kepada Editor Sinar Harian, Muhamad Mat Yakim.
Bagaimana boleh timbul kenyataan satu lawan satu?
Kalau ambil kira dari segi akal, satu lawan satu, tinggi harapan kita untuk menang. Kalau dua penjuru, kurang sikit. Kalau tiga, lagilah kurang. Atas dasar itu, saya lontarkan idea, Pas bersedia untuk satu lawan satu tetapi ia bukanlah setakat itu, ada syarat. Kita letak syarat sebab kita tak mahu kalau kita menang, timbul masalah lain, jadi konflik, perebutan (jawatan dan kuasa).  Itu kita nak elak. Tetapi pada dasarnya konsep satu lawan satu memang baik. Itu kita akui. Saya lontarkan pandangan itu kerana ia tidak bercanggah dengan sistem demokrasi kita dan tidak bercanggah dengan pemikiran kita bahawa satu lawan satu lebih mudah untuk kita menang.
Apakah syarat-syarat itu?
Apabila kita capai kemenangan, kepimpinan mesti diterajui oleh Islam. Ini merangkumi sebarang sudut yang ada dalam kepimpinan. Landasan dari segi pentadbiran, pengurusan dan sebagainya adalah mesti mengikut apa yang ditakrif sebagai prinsip dan nilai Islam.
Apa lagi prasyarat sebelum persetujuan dicapai?
Perlu  difahami untuk mencapai sesuatu kerjasama mengikut Islam, ada tiga gagasan pendekatan yang perlu iaitu tahaluf, ta’awun dan isti’anah. Tahaluf ialah kerjasama yang lebih menjurus kepada politik. Ta’awun ialah bersama dalam satu ikatan atau pakatan. Konsep ta’awun adalah lebih luas daripada politik, turut merangkumi urusan sosial dan kemasyarakatan. Isti’anah pula dalam situasi yang memerlukan kita minta tolong daripada pihak lain untuk mencapai sesuatu tujuan.  Ketiga-tiga konsep ini ada dalam pakatan yang Nabi pernah buat. Nabi malah pernah minta tolong daripada orang Yahudi. Semasa PR, ketiga-tiga elemen itu kita buat, ada dalam pendekatan kita (Pas). Isti’anah misalnya apabila kita bertanding di kawasan yang ramai pengundi Cina, DAP datang tolong. Dalam Islam, pendekatan ini diharuskan. Atas dasar itu, kita tidak menolak untuk bekerjasama dengan sesiapa pun. Syaratnya, mesti Islam yang memimpin. Kita sudah terlibat dengan berbagai bentuk kerjasama. BN pun Pas pernah masuk tapi tidak sampai ke mana. Jadi sekarang, kita kena letak syarat sebelum apa-apa kerjasama kita buat. Satu lawan satu memang baik tetapi kita mesti letak Islam yang memimpin. Kita sudah ada pengalaman kalau letak matlamat yang lain, ia tidak akan menguntungkan Islam.
Jika kerjasama itu menjadi, adakah mesti Pas yang jadi ketua?
Kita tidak bermaksud begitu. Tidak semestinya Pas. Siapa pun boleh jadi ketua. Apabila disebut Islam, boleh sesiapa sahaja. Presiden sebut Pas (yang memimpin), bukan bermakna kenyataannya itu menyalahi apa yang saya sebut. Itu pandangan dia (Presiden Pas) atas pengalamannya bersama pakatan sebelum ini. Bagi Tok Guru Haji Hadi, sebelum ini apabila diberi kepada pihak lain (selain Pas) untuk memimpin, pakatan kita boleh dikatakan hanyut, tidak sampai tujuan.  Jadi kali ini, biar Pas yang memimpin. Itu bukan makna kita minta. Dan Pas itu bukan mesti Haji Hadi. Pas adalah organisasi. Bukan kita minta untuk diri kita. Kita bukan rebut atau gila nak jadi perdana menteri. Itu kita sebut lama dah, sejak awal lagi tetapi mereka sendiri, belum apa-apa lagi sudah sebut orang itu perdana menteri, orang ini perdana menteri. Itu yang dimaksudkan oleh Tok Guru. Dan saya apabila saya kata Islam,  sebenarnya sama sahaja tetapi saya sebagai orang yang lebih tua, lembut sikitlah kata-kata saya (tertawa)! Saya ulang, apabila disebut Islam, boleh sesiapa sahaja asalkan kita yakini kerjasama ini boleh dibawa mengikut acuan Islam, mengikut cara, kaedah dan pendekatan Islam. Tok Guru Nik Aziz pernah kata, kita nak buat (tegak pemerintahan) Islam, kalau Umno nak buat Islam yang sama, kita sanggup bubar Pas. Jadi maknanya, sesiapa saja yang nak buat Islam, kita akan sokong. Sampai sekarang, prinsip itu kita pegang. Bukan mesti Pas. Kalau ada orang lain yang betul-betul kita boleh percaya untuk melaksanakan Islam, kita sokong. Nabi dulu pun, apabila ada raja di sesebuah negara yang sedia terima Islam, Nabi benarkan untuk dia memerintah. Ini bukan soal kita nak jadi ketua, tetapi kita nak letak Islam di tempatnya, sebagai landasan dalam kepimpinan. Islam tidak ada kaitan dengan soal tamak kuasa tetapi Islam bawa mesej selamat dunia dan akhirat. Aslim taslam, masuk Islam, kamu selamat dunia akhirat. Inilah pendekatan kita, nak usaha untuk semua orang faham dan terima Islam yang sebenar-benarnya.
Kalau tidak letak syarat seperti itu?

Kalau kita tidak letak syarat itu, mungkin akan timbul masalah. Mutakhir ini, ada kempen besar-besaran untuk guling Najib. Saya nak tanya, katakanlah kempen mereka berjaya, selepas Najib jatuh, apa akan jadi?  Bolehkah kita pastikan bahawa tidak akan ada masalah lagi jika Najib dijatuhkan? Pada pandangan saya, kalau sistem yang sama masih dipakai, samalah juga. Dengan itu, jatuhnya Najib tidak ada makna pun untuk kita. Lebih baik kita biar dan lawan dia dalam pilihan raya. Kalau boleh kata dalam keadaan dia banyak ‘dosa’ , banyak perkara yang dia buat orang marah, masa itulah kita tumbangkan dia. Itu lebih baik daripada kita usaha jatuhkan dia sekarang. Kalau Najib jatuh sekarang, nanti naik orang baru ganti dia, orang itu akan bawa BN jadi lebih kuat seperti semasa Pak Lah ambil alih daripada Mahathir dulu. Bukankah pada pilihan raya 2004, BN memang besar? BN akan lebih kuat dalam tangan orang baru. Najib sekarang dalam keadaan lemah, jadi kita sebagai pembangkang tak perlulah nak kempen (beri kekuatan baharu kepada BN). Dia lemah, biarlah.
Maknanya Pas tetap tidak akan setuju dengan kempen jatuhkan Najib?
Keutamaan kita adalah menentang kezaliman. Kalau setakat Najib, nanti Najib jatuh, apa pula? Tetapi kalau kezaliman yang kita tentang, tidak kira siapa. Kalau Najib, Najiblah kita tentang, malah kalau Tok Guru Haji Hadi pun, katakanlah dia zalim, kita akan tentang juga. Dalam menentang kezaliman, tidak bolehlah kita benarkan setelah jatuhnya sesuatu kezaliman, nanti naik kezaliman yang lain pula. Itu yang kita tak mahu berlaku. Saya percaya dalam hal ini, tidak timbul masalah bercanggah dengan kehendak rakyat. Soal nak jatuhkan Najib,  ikut syarak ke tidak? Ikut cara Islam, kita kena kira sampai begitu. Kalau dalam al-Quran, ALLAH kata tak boleh, tak bolehlah walaupun 100 peratus rakyat nak seseorang pemimpin itu dijatuhkan.
Dalam ucapan di Konvensyen PH, Nurul Izzah ada menyindir Presiden Pas ...
Orang yang tak pernah bersama Pas, kalau mereka tak faham, kita boleh terima sebab kita lontarkan perkara ini pun baru saja. Jadi memang dia tak fahamlah. Tetapi yang saya pelik apabila mereka yang pernah bersama Pas, pernah sertai usrah kita, mereka bagi saya bukan tak faham tetapi buat-buat tak faham. Setiap kali mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, kita usrah dulu. Kita ambil satu ayat (al-Quran) dan hurai. Sesiapa saja boleh beri idea atau pendapat mengikut situasi atau isu-isu semasa. Akhir sekali, kita buat kesimpulan. Itu yang saya berasa pelik apabila yang sudah lalui proses ini, pernah duduk lama dalam Pas dan ikuti usrah kita, pun masih tunjuk tidak faham. Apa pun, kami ambil sikap untuk terima bahawa kerja kita ini sememangnya berat dan tidak mudah. Dan kita pun memang letak dalam jangkaan bahawa kita akan hadapi ujian semacam ini. Kerana itu, kita tidak panik dan anggap ini ujian dalam usaha kita menegakkan agama ALLAH.
Sudah bincang antara pimpinan parti?
Peringkat pimpinan, secara rasmi belum tetapi secara tidak rasmi, mungkin ada. Kita sebenarnya belum ada keputusan pun nak bersatu dengan siapa, Majlis Syura pun belum mesyuarat tetapi untuk menjawab persoalan tentang ini, akan dibuat satu kertas yang akan dibentang pada mesyuarat (Majlis Syura Ulamak) 17 Disember.  Sekarang, kami nak biar orang bincang, bagi ‘hadam’ dulu… lepas itu baru kita mesyuarat. Jadi apa yang dibincangkan sekarang kita akan ambil kira untuk kita bawa ke dalam mesyuarat.

1 ulasan:

  1. PAS bukan gila kuasa, PAS gila babi

    Kahhh kahh kahh

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA