Ahad, 20 November 2016

Muhyiddin ingatkan Najib supaya hormati hak berhimpun rakyat

whatsapp-image-2016-11-19-at-11-52-17
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis menahan pemimpin pembangkang dan aktivis BERSIH.

Menurutnya, ini adalah satu bentuk ancaman dan gangguan terhadap penganjur dan orang ramai yang berhasrat untuk menghadiri perhimpunan tersebut esok.

Beliau memetik Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan setiap rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

“Saya juga ingin mengingatkan Najib Razak bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan beliau sendiri sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Politik.

“Akta ini bertujuan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dan  bersuara selaras dengan prinsip demokrasi. Saya menggesa Najib Razak supaya tidak sekali-kali melupakan janji-janjinya itu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau mengulangi pendirian PPBM yang menyokong penuh Himpunan Bersih 5 yang akan diadakan hari ini..

“Ia adalah satu perhimpunan yang mengikut lunas undang-undang dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya bersama-sama pimpinan tertinggi PPBM akan menyertai perhimpunan ini dan berharap ramai yang akan hadir untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan menentang rasuah dan penyelewengan serta mewujudkan pilihanraya yang bebas, adil dan bersih di Malaysia,” tegas beliau.

Dalam perkara berkaitan Muhyiddin memetik kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang mengingatkan pihak berkuasa supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA