Selasa, 1 November 2016

MP Umno "hampir tumbuk" MP PKR dalam Dewan Rakyat

Ketegangan memuncak di Dewan Rakyat hari ini apabila ahli parlimen BN dan pembangkang hampir bertumbuk.
Kekecohan dilaporkan tercetus, tidak lama selepas Rafizi Ramli (PKR-Pandan) mengakhiri ucapannya.
Kamera parlimen kemudian difokuskan kepada Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamad Said, yang mengarahkan kedua-dua, G Manivannan (PKR-Kapar) dan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) untuk duduk.
Ismail kemudian mengarahkan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) untuk menyerahkan telefonnya kepada bentara parlimen untuk dipadamkan gambar yang dirakamkan kerana tindakan itu adalah dilarang.
Adalah tidak jelas apa sebenarnya berlaku tetapi Manivannan dan ahli parlimen pembangkang lain mendakwa Ehsanuddin menuju ke tempat duduk mereka dan mahu bertumbuk.
Bagaimanapun, menurut mereka, pegawai parlimen meleraikan Ehsanuddin dan Manivanan.
Ketegangan di antara kedua-dua mereka dilaporkan bermula sejak malam semalam, apabila ahli parlimen PKR itu enggan membiarkan wakil Kota Tinggi mencelah perbahasan ucapan belanjawannya.
Manivannan ketika itu berbahas mengenai masalah sosial dan berkata golongan wanita mungkin terpaksa melacurkan diri manakala golongan belia pula menjual dadah jika beban ekonomi tidak diringankan.
Ehsanuddin bangkit dan berkata bahasa itu adalah tidak wajar dan beliau boleh didengar mengkritik wakil Kapar sepanjang ucapannya.
Pada akhir perbahasan itu, Manivannan menjadikan wakil Umno itu sebagai sasarannya dan berkata: “Kalau anak jantan keluar sekarang.”
Manivannan kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa ahli parlimen Umno itu tidak bertemu dengannya dan beliau menjangkakan isu berkenaan telah berakhir.

Bagaimanapun beliau berkata Ehsanuddin kemudiannya berjumpa dengannya hari ini selepas beliau membantah tindakan wakil Umno itu menuduh Rafizi sebagai “bodoh, tipu”.
Ehsanuddin bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Ada ke? Tak ada kena mengena pun. Inilah Kapar,” katanya.
Ahli parlimen BN itu juga menafikan dirinya mahu bergaduh tetapi sekadar mahu berjumpa dengan Manivannan untuk bertanya kepadanya berhubung kenyataan "anak jantan" itu.
“Saya tiada dalam dewan semasa dia cabar semalam. Dengar kata diacabar kalau saya anak jantan jumpa di luar. Jadi saya nak tanya dia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA