Rabu, 9 November 2016

Minyak masak kitar semula berbahaya ‎untuk kesihatan


KUALA LUMPUR - Penggunaan minyak masak kitar semula berisiko menyebabkan penyakit serius seperti keradangan hati, kanser dan serangan jantung.
Anggota Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, minyak yang telah digunakan berulang kali akan menghasilkan kandungan toksik tinggi yang sukar dihapuskan.
"Kandungan toksik yang terdapat dalam minyak kitar semula itu boleh menyebabkan saluran darah tersumbat, meningkatkan tekanan darah seterusnya mendatangkan pelbagai penyakit berbahaya terutamanya serangan jantung.
"Minyak masak kitar semula juga tidak terjamin dari segi keselamatan dan kebersihannya kerana ia diperoleh daripada sisa minyak terpakai di restoran atau hotel," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Dr Zubaidi berkata, walaupun telah dikitar semula termasuk melalui proses pelunturan warna dan penapisan, ia masih tidak mampu menyamai kualiti minyak masak baharu malah tidak selamat untuk digunakan.
Menurutnya minyak masak berkualiti dan kitar semula agak sukar dibezakan kerana pada asasnya ia kelihatan seperti sama namun pemeriksaan lebih teliti di makmal dapat memastikan kualiti minyak tersebut.
Beliau berkata pengguna boleh membuat pemeriksaan sendiri bagi memastikan minyak masak baharu dan kitar semula, dengan cara meletakkan minyak masak dalam peti sejuk lebih kurang dua jam dan jika minyak kelihatan berbuih, ia merupakan minyak kitar semula.
Selain itu, katanya minyak masak yang dikitar semula akan menghasilkan haba yang lebih tinggi ketika dipanaskan untuk memasak kerana struktur kimia dalam minyak masak itu telah berubah.
Dalam pada itu, Dr Zubaidi mencadangkan orang ramai membeli minyak masak yang mempunyai cap Sirim serta memastikan syarikat pengeluar minyak itu mempunyai lesen yang sah beroperasi bagi mengelakkan ia menjalankan aktiviti mengutip minyak kitar semula.
"Pengguna jangan mengambil sikap membeli barangan yang murah sahaja tanpa melihat kualitinya yang akhirnya akan memudaratkan kesihatan sendiri. Selain itu pihak berkuasa juga perlu sentiasa memantau operasi syarikat pengeluar minyak masak agar mereka tidak mengambil sisa minyak terpakai di restoran atau hotel dan memproses semula minyak tersebut untuk dijual kepada pengguna," katanya.
Sebelum ini dilaporkan wujudnya syarikat pengeluar minyak yang mengumpul minyak buangan dari restoran dan melakukan penapisan serta pelunturan warna bagi menjadikan ia kelihatan seperti minyak baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA