Khamis, 3 November 2016

Menjelang Bersih 5: Aktivis seru anak muda ikhlas berjuang


Nashita Md NorNashita Md NorMahu golongan muda lebih-lebih lagi Pemuda Pakatan Harapan fokus pada perjuangan menuntut keadilan buat rakyat, aktivis Nashita Md Noor menggesa mereka supaya tidak mengejar kepentingan diri semata-mata.
“Kita mahu Pemuda (Pakatan Harapan) yang benar-benar melawan bukan Pemuda yang hanya mahu mendapat kedudukan dalam parti politik, Parlimen atau di Dewan Negeri demi mengejar nama, kuasa dan harta.
“Pemuda mesti ikhlas berjuang menentang kezaliman dan benar-benar membela nasib rakyat dengan menjatuhkan kerajaan yang zalim. Kita mahu pemuda bangkit dan melawan!” tegasnya ketika sesi soal jawab dalam Wawancara Menuju Bersih 5 di Radio Bangsar Utama malam tadi.
Berkongsikan pengalamannya turun ke jalan raya dalam kebanyakan siri himpunan rakyat termasuk Bersih, beliau menceritakan insiden pahit yang terpaksa ditempuhi golongan aktivis sebelum ini.
“Kami sendiri hilang kerja, jual rumah, kita berkorban,” tegas isteri kepada aktivis Bad Latif Mansor yang pernah dijatuhkan hukuman penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan menyertai demonstrasi haram pada 2009.
Terdahulu menyentuh ‘mood’ demonstrasi Bersih 5 pada 19 November ini, aktivis Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) meluahkan rasa kekecewaannya.
“Sebelum ini kita menyertai siri himpunan Bersih dalam keadaan yang bersemangat tapi sekarang saya rasa tiada harapan, meluat dan tidak suka dengan apa terjadi.
“Kali terakhir pergi demonstrasi masa Tangkap MO1 (Malaysian Official 1). Kita sentiasa meletakkan harapan pada setiap demonstrasi melawan kerajaan yang zalim ini.
“Namun, apa yang berlaku, saya dan ramai lagi kecewa penuh kecewa. Kita menjerit, angkat plakad, berarak tapi kita balik dengan rasa kecewa,” luah beliau lagi yang turut hadir di Kelab Bangsar Utama itu bersama suami dan anaknya, Asiah Latif.
Tidak ambil kisah 
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan sebahagian besar masyarakat pada masa ini bersikap tidak peduli berbeza dengan semangat menentang kezaliman rejim sebelum ini.
“Dalam situasi sekarang, masyarakat kita macam tidak ambil kisah. Kalau dulu semangat ingin melawan kezaliman seolah-olah tidak akan pudar. Kita tidak mungkin menyerah kalah dan berhenti berjuang melawan penindasan pemerintah.

“Setiap demonstrasi di jalanan itu kita ambil sebagai satu cara kita meluahkan perasaan dan menuntut perubahan. Contohnya, Gerakan Mansuhkan ISA, kita lawan dan lawan.
“Isteri-isteri yang terseksa akibat akta zalim itu melawan tidak berhenti dan akhirnya saya sendiri ditahan dan dilokap kerana demonstrasi itu.
“Kita melawan dan akhirnya akta itu dimansuhkan kerana selama ini kita yakin Allah akan berikan kejayaan atas usaha berterusan yang dilakukan hamba-Nya,” ujarnya lagi.
Walau bagaimanapun, Nashita menyifatkan program wawancara bersama Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Ahmad Syukri Abd Razab oleh wartawan Malaysia Dateline, Arif Atan sebagai moderator pada malam tadi sebagai satu kelainan.
“Saya rasa (program) ini satu kelainan kerana memberi tekanan kepada Pemuda. Kami mahukan golongan anak muda ke depan. Kami sekarang sudah berumur 50 tahun tapi masih kuat untuk melawan. Kita mengharapkan satu kelainan. Kita mahu kekuatan sebenar pemuda melawan rejim,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA