Jumaat, 4 November 2016

Mengapa geostrategi Malaysia-China penting?

Sebuah jet pejuang China bersedia mendarat di kapal pengangkut induk.Sebuah jet pejuang China bersedia mendarat di kapal pengangkut induk.
1. Diceritakan dalam Sejarah Melayu, hubungan dengan China adalah hubungan yang sedarjat sejak era Sultan Mansur Syah lagi.  Namun hubungan ini hanya menjadi ‘sedarjat’ selepas Maharaja China terkena tulah Sultan Mansur Syah.

“Maka titah Maharaja China, Segala anak cucu kita jangan lagi berkehendak disembah Raja Melaka datang kepada anak cucu Raja Melaka, tetapi muafakat berkasih-kasihan jua.” (Sejarah Melayu/ Sulalatus Salatin – Tun Sri Lanang)
Hal ini mengajar keperluan pada ‘strategi atau senjata’ tersirat dalam hubungan dengan kuasa besar.
2. Kita perlu sedar bahawa geopolitik dunia pada hari ini berada dalam persimpangan ketidaktentuan yang cukup dinamik. Dalam aspek geostrategi, lawatan kali ini cukup penting dari beberapa perspektif iaitu menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dan juga ura-ura rancangan pembinaan terusan Segenting Kra di Thailand.
3. Persaingan antara Donald Trump dan Hillary Clinton sememangnya menimbulkan kegusaran berkenaan hala tuju dasar luar negara ‘Uncle Sam’ tersebut.  Hillary terkenal sebagai pro kepada dasar campur tangan dalam urusan hal ehwal dalaman negara lain, Trump pula seorang yang lantang dan boleh bertindak di luar jangkaan.
4. Sebagaimana ingatan sarjana Realisme Ofensif seperti John J. Mearsheimer, negara seperti AS akan berusaha memaksimumkan kelebihan relatif mereka berbanding negara-negara lain dalam sistem antarabangsa.
5. Berdasarkan fakta keberadaan Armada Pasifik AS, hanya China sahaja yang mampu untuk menjadi pengimbang terdekat.  Armada Pasifik AS terdiri daripada 41 buah kapal selam, 6 kapal induk pesawat udara, serta 58 buah kapal pengiring. China pula diperkasai sebanyak 65 buah kapal selam, sebuah kapal induk pesawat udara Liaoning, 76 kapal pengiring, 102 kapal peluru berpandu, 109 kapal peronda tentera laut, dan 582 kapal peronda separa tentera.
6. Tentera Laut AS mendominasi Laut China Selatan buat masa ini. Namun situasi terbabit bakal berubah. Saiz Tentera Laut AS telah menurun daripada hampir 600 kapal perang pada era Reagan kepada sekitar 300 sewaktu era Clinton, sehinggalah kurang daripada tiga ratus buah kini.
7. Sementara itu, tentera laut China yang merupakan pasukan tentera laut yang kedua terkuat di dunia terus meningkat dengan dramatiknya. China kini membangunkan kapasiti nic dalam peperangan bawah permukaan dan teknologi peluru berpandu balistik (misil DF-21) yang direka bentuk bagi menembak sasaran yang bergerak di laut, seperti kapal induk pesawat udara AS.
8. Sekiranya China memperluaskan armada kapal selamnya hingga 78 buah menjelang tahun 2020 sebagaimana yang dirancang, ia bakal menyamai armada bawah laut Tentera AS dari segi kuantiti. Disebabkan armada kapal selam Tentera Laut AS berkuasa nuklear sepenuhnya, ia memerlukan ciri berkenaan untuk belayar separuh jalan mengelilingi dunia bagi membolehkannya tiba di Asia Timur, sebaliknya kapal selam berkuasa elektrik-diesel milik China adalah jauh lebih senyap dan ia boleh bersembunyi dengan lebih baik. Pada suatu masa nanti, China bakal benar-benar berupaya untuk menafikan akses berleluasa Tentera Laut AS di bahagian-bahagian Laut China Selatan.

9. Realiti ini tentu sekali bergantung pada kekuatan tentera laut sesebuah negara – adakah ia merupakan armada hijau atau armada biru. Armada hijau atau ‘Green-water Navy’ adalah terminologi yang merujuk pada sesebuah angkatan tentera laut yang berkeupayaan operasi di zon pesisiran lautnya sahaja dan tidak berupaya untuk berekspedisi di laut lepas yang jauh.  Armada biru atau ‘Blue-water Navy’ pula merujuk pada angkatan tentera laut yang berupaya untuk beroperasi serta berkuasa berekspedisi merentasi lautan dalam laut lepas.
10. Dalam konteks persaingan kuasa global hari ini, Amerika dan China pastinya diklasifikasikan sebagai dua ‘armada biru’, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula boleh diklasifikasikan sebagai ‘armada hijau’.
11. Hakikatnya, sebagai sebuah negara relatif kecil, Malaysia tidak boleh sekadar berserah menanti perubahan pola geopolitik global begitu sahaja. Sebagaimana menurut Charles Morrison dan Astri Suhrke dalam Strategies of Survival, kuasa tawar-menawar melalui “kekuatan” dan juga “kekurangan” wajar dimanfaatkan sepenuhnya.
12. Karya “Wharton on Dynamic Competitive Strategy” memperincikan hal ini dalam bab “Preemptive strategy”.  Contohnya dari segi ekonomi, pemeteraian 14 perjanjian perniagaan bernilai RM144 bilion yang disaksikan Perdana Menteri di China telah meletakkan Malaysia sebagai lokasi strategik yang penting dalam Projek ‘One Belt One Road’ (OBOR) China.  Hal ini melengkapi beberapa kerjasama sebelum ini termasuklah projek Melaka Gateway, Forrest City (Johor), dan juga penyertaan dalam Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) yang dilulusan di Dewan Rakyat baru-baru ini. Malah pada November 2014 juga Bank Negara Malaysia (BNM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan People’s Bank of China mengenai pengaturan penjelasan dan penyelesaian RMB (clearing arrangements) manakala pada November 2016 BNM turut memberikan lesen komersial kepada China Construction Bank (Malaysia) Berhad (CCB Malaysia).
13. Demikian juga dalam konteks potensi ancaman pembinaan terusan di Segenting Kra di Thailand misalnya, yang akan mengurangkan kepentingan Selat Melaka, tindakan rundingan pintar dengan China sekarang, bukan sahaja tepat pada masanya bahkan menjadikan Malaysia sebagai wilayah yang perlu diambil kira dalam perhitungan ‘grand strategy’ Beijing untuk jangka masa panjang.  Maka, tidak dengan begitu mudah untuk China mengabaikan Malaysia kelak.
14. Dari segi pertahanan pula, MoU antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dengan Jeneral Chang Wanquan bukan sahaja dalam pemerolehan aset dari China, tetapi juga menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) kerjasama pertahanan.
15. HLC merangkumi usahasama industri pertahanan, perisiskan dan pertahanan siber, perunding pertahanan strategik, dan hubungan ketenteraan dua hala.  Langkah ini melengkapi pemeteraian Kerjasama Strategik Komprehensif sewaktu lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada Oktober 2013.
16. Sememangnya Malaysia tidak terkecuali daripada tempias tuntutan China ke atas Laut China Selatan.  Meskipun penguasaan Malaysia ke atas Terumbu Siput, Terumbu Peninjau, Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani, dan Pulau Layang-layang tidak pernah dicabar secara ketenteraan oleh Beijing, namun tuntutan tetap dibuat dan beberapa siri penerobosan kapal milik China di perairan Sarawak berhampiran Beting Patinggi Ali serta Beting Serupai sejak 2013 telah berlaku.
17. Namun penjajahan China ke atas Malaysia adalah tidak rasional, sebagaimana menurut John J. Mearsheimer, “kuasa penghentian air” (water-stopping power) akan memudarkan sebarang pencerobohan ke atas negara-negara kepulauan oleh kuasa besar.  Ditambah pula dengan realiti kantung ekonomi China, dan legitimasi Parti Komunis China.
18. Air, menurut Mearsheimer dalam The Tragedy of Great Power Politics (halaman 114) adalah merupakan penghalang kepada penaklukan kerana meskipun sesebuah negara boleh membina kekuatan tentera laut dan memindahkan tenteranya merentasi lautan, negara berkenaan akan mendapati bahawa ianya adalah jauh lebih sukar untuk mendaratkan tenteranya di pesisir laut musuh, apatah lagi untuk bergerak maju lebih dalam bagi menakluk populasi musuh berkenaan secara kekal.
19. Dakwaan Malaysia bakal menjadi ‘negara satelit’ kepada China juga tidak berasas sama sekali dengan pelbagai siri kerjasama erat berimpak tinggi yang Malaysia miliki dengan India, AS dan Rusia disamping dengan ‘kuasa-kuasa pertengahan’ lain seperti Jepun, Turki, dan Korea Selatan.  Langkah Malaysia ini dapat mengelakkan risiko terperangkap bergantung pada hanya sebuah kuasa besar semata-mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA