Jumaat, 4 November 2016

MENELAH PAS ANTARA AKTA 355 DAN HARAPAN NAJIB TENTANG PERUBAHAN PENGUNDI CINA

Lim Kit Siang menimbulkan persoalan apakah Pas sedang memberi kata dua kepada Najib Razak berikutan sikap Hadi Awang yang tiba-tiba terbuka untuk menjayakan pertandingan satu lawan satu dengan parti pembangkang lain untuk menumbangkan UMNO dan BN.

Katanya, beliau khuatir kenyataan Hadi itu hanya bertujuan mendesak Putrajaya menyokong usul Akta 355 yang masih menunggu kebenaran kerajaan untuk dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Parlimen.

Adakah Hadi cuba memberitahu Najib bahawa ada akibatnya jika beliau  tidak mahu menyokong usul Akta 355 itu? tanya Kit Siang lagi.

Sehubungan itu, kata Kit Siang, pihaknya perlu mengkaji terlebih dahulu dan berharap tiada udang di sebalik batu daripada kenyataan Hadi itu.

Sebenarnya persoalan yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang itu turut bermain di pemikiran ramai orang dan pemerhati politik dalam negara. Ini kerana sikap Hadi dan Hashim Jasin, Muryidul Am Pas dalam soal ini terlihat agak mendadak perubahannya.

Sebelum ini, mereka agak keras dalam soal bekerjasama dengan parti-parti lain dan mahu terus kekal bertanding sendirian sebagai blok ketiga yang dinamakan Gagasan Sejahtera, suatu langkah yang dilihat akan memberi keuntungan kepada UMNO dan BN.
Bagaimanapun langkah Pas yang tiba-tiba terbuka untuk menjayakan formula satu lawan satu, meskipun menimbulkan persoalan, tetap disambut baik kerana keinginan majoriti rakyat lebih mahu melihat UMNO dan BN dapat ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang.

Blog ini juga dalam artikelnya sebelum ini turut mengharapkan Pas akan kekal  istiqamah dan tidak lagi berubah-ubah dengan pendiriannya untuk bersama-sama blok pembangkang bagi tujuan menumbangkan UMNO dan BN.

Memang diakui langkah Najib memberi ruang kepada Hadi Awang membentangkan usul persendirian meminda Akta 355 adalah bertujuan menarik Pas lebih dekat kepada UMNO. Usul tersebut, walaupun hanya bertujuan memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah, tetapi gambarannya seolah-olah sama seperti hudud.

Apatah lagi, parti-parti bukan Melayu, termasuk komponen BN, turut secara terbuka menentangnya kerana menganggap ia sebagai laluan awal ke arah hudud. Akibatnya, sementara Akta 355 itu terus merenggangkan hubungan Pas dengan parti-parti pembangkang lain dan dalam masa yang sama menjadikan mereka semakin dekat dengan UMNO, Najib juga berdepan dengan tentangan daripada parti-parti komponen BN kerananya.

Lantaran itu, tidak mustahil usul Akta 355 ini akan terus terpanggang di kedudukan bacaan kali pertama saja dan tidak diberi laluan untuk diteruskan. Meskipun Najib mengharapkan sokongan Pas, beliau juga tentunya tidak sanggup kehilangan sokongan MCA, MIC, Gerakan dan komponen di Sarawak.

Kenyataan Azalina Othman Said, menteri yang bertanggungjawab kepada Parlimen bahawa Dewan Rakyat sesi ini mungkin tidak cukup masa untuk usul Hadi jelas merupakan petanda ia bakal tertangguh lagi. Pas tentu saja sedar hakikat tersebut.

Maka, persoalan bahawa perubahan sikap Pas sebagai kata dua kepada Najib ada logiknya serta tidak boleh ditolak begitu saja.

Tambahan lagi, Najib sekarang ini seperti tidak lagi memerlukan sokongan Pas untuk masa depannya. Najib, melalui pemberian kontrak besar-besaran kepada syarikat China sambil dengan berani memberi amaran kepada Barat agar bersikap adil dan tidak saja pandai bersyarah tentang hak asasi kepada negara-negara kecil, adalah isyarat paling jejas telah meninggalkan Amerika yang telah memalukannya melalui tindakan Jabatan Kehakiman AS menyita harta-harta berkaitan 1MDB.

Dengan menjadikan China sebagai pergantungan barunya beserta kesanggupan kuasa kedua ekonomi dunia itu melambakkan hutang berbilion dolar melalui pelbagai projek infrastruktur negara, harapan Najib tentunya ialah agar sokongan pengundi-pengundi Cina juga akan kembali kepada UMNO dan BN bersama langkah itu.

Walaupun berbelah bagi kerana sementara orang Cina memikirkan soal bisnes dan sebahagian lagi melihat soal kekotoran skandal, tetapi sekiranya perkiraan Najib bahawa pengundi Cina lebih ramai yang akan kembali kepada UMNO dan BN menerusi perubahan dasar pandang ke China itu, maka sudah tentu Pas dan Akta 355 itu tidak diperlukan lagi olehnya.

Soalnya, apakah sokongan pengundi Cina yang diramalkan itu sudah memadai untuk menjamin UMNO dan BN mencapai kemenangan dalam PRU 14 akan datang?

Bagaimana jika sekiranya, lebih-lebih lagi dengan adanya PPBM dan penolakan rakyat terhadap skandal yang melibatkan Najib, sokongan pengundi Cina masih tidak mencukupi untuk memastikan kemenangan BN dan Najib tetap memerlukan bantuan Pas bagi tujuan menjamin kemenangan yang lebih selesa?

Apa akan jadi jika ketika itu Najib tiba-tiba memberi kebenaran kepada Hadi meneruskan pembentangan usul Akta 355 di Parlimen?

Apakah Pas akan kembali berenggang dengan parti-parti pembangkang lain yang sudah didekatinya sebelum ini untuk sekali lagi berpendirian mahu bertanding secara sendirian atau tetap istiqamah dengan kesepakatan satu lawan satu untuk menumbangkan UMNO dan BN?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA