Selasa, 15 November 2016

Mempertahan kedaulatan Parlimen

Kita tidak mahu negara Malaysia dikenali sebagai kleptokrasi global. Namun sebaliknya, Perdana Menteri dengan rakus mahu meruntuhkan institusi demokrasi dengan mencabuli kedaulatan Parlimen demi mempertahankan kuasa dan kebejatan pengurusan kewangan.
Sekiranya kita mahu Parlimen Malaysia menjadi Parlimen kelas pertama di dunia, maka Ahli-Ahli Parlimen wajar diberikan kebebasan untuk berucap dan berbahas demi kepentingan rakyat dan negara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengecam tindakan mengasak dan menekan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan kepada pihak polis berhubung perbahasan beliau berkenaan skandal 1MDB di Parlimen.
Tekanan politik yang sama telah dilakukan terhadap Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas perbahasan mereka di Parlimen.
Semua Ahli-Ahli Parlimen tanpa mengira parti harus bersatu untuk menentang tindakan zalim oleh regim Dato’ Sri Najib Tun Razak. Tindakan ini jelas merupakan langkah terdesak Perdana Menteri untuk membungkam suara Ahli Parlimen yang bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara.

KEADILAN tegas mengingatkan Perdana Menteri bahawa rakyat menolak segala bentuk salah guna kuasa dan percubaan terdesak untuk mengekalkan kuasa kleptokrasi.
Kita yakin Tan Sri Muhyiddin mempunyai kekuatan diri untuk menghadapi dugaan ini.
Beliau telah berusaha dari dalam Kerajaan untuk membanteras jenayah dalam skandal 1MDB, skandal kleptokrasi yang terbesar di dunia demi menyelamatkan negara dan menjaga kepentingan rakyat.
Justeru, KEADILAN tuntas bersama Tan Sri Muhyiddin dalam perjuangan untuk melakukan perubahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA