Rabu, 9 November 2016

Media perlu bebas dari parti politik, kata bekas editor Utusan

Bekas editor kanan akhbar Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain berkata sudah tiba masanya organisasi media di negara ini bebas daripada kawalan parti politik.
"Organisasi media di negara ini perlu bebas daripada dikawal berbanding keadaan sekarang yang terlalu mengongkong.
"Ini bagi mengangkat maruah dan martabat media agar lebih bebas dari dikawal secara terang-terang," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia yang meminta Umno selaku pemegang saham terbesar Kumpulan Utusan melepaskan pegangan mereka dalam syarikat akhbar Melayu tertua di negara itu.
"Saya sokong gesaan NUJ dan dah sampai masanya untuk parti politik tidak menjadi pemodal kepada organisasi media," kata Ku Seman kepada Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Ku Seman berkata tindakan tidak mencampuri pengurusan dalam sesebuah organisasi media mampu mengangkat maruah dan martabat media agar lebih bebas.
Beliau mengambil contoh di negara luar di mana parti- parti politik tidak menguasai pegangan saham dalam sesebuah organisasi media.
"Kalau kita tengok di negara lain pun tidak ada parti politik yang menguasai saham dalam organisasi media, tapi mungkin mereka cuma mempengaruhi pengarangnya sahaja," tambah Ku Seman.

Majlis Tertinggi NUJ dalam kenyatannya berkata, tindakan Umno melepaskan penguasaan saham sekitar 50 peratus yang dimilikinya membolehkan pengambil alihan saham oleh pihak lain.
NUJ berkata dengan cara itu ia dapat membuka seluas-luasnya kepada usaha memulihkan kedudukan kewangan syarikat yang kini berdepan masalah dengan penstrukturan semula.
Ini kerana Utusan terus mencatat kerugian sejak 2009, selain pembayaran lewat gaji kakitangannya, kejatuhan edaran akhbar dan pendapatan iklan berkurangan, di samping terpaksa membayar ganti rugi akibat kalah dalam saman di mahkamah.
"Paling menyedihkan apabila syarikat terpaksa menggunakan wang potongan pinjaman peribadi kakitangan kepada pihak bank untuk meneruskan operasi syarikat buat masa ini," kata NUJ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA