Isnin, 21 November 2016

MEDIA ARUS PERDANA SEMAKIN TERDESAK – KADIR JASIN


REAKSI media arus perdana (MAP) terhadap tunjuk perasaan aman Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) siri kelima Ahad lalu tidak memeranjatkan.

Mereka sangat terdesak untuk menggambarkan gerakan rakyat itu sebagai ganas, perkauman dan gagal. Yang paling menekan peneraju dan tukang karut MAP ialah penyertaan ramai orang Melayu dalam Bersih 5.
Hakikat itu mematikan hujah kegemaran MAP selama ini iaitu Bersih adalah gerakan perkauman yang didukung oleh orang Cina, ditaja oleh pembangkang dan diarah oleh DAP.


Tetapi bekas pengarang dan wartawan MAP seperti Mustapha Kamil (New Straits Times), Ku Seman Ku Hussain (Utusan Malaysia), Imlan Abadi (Berita Harian) dan ramai lagi faham.Orang luar mingkin tidak berapa faham mengenai keterdesakan (desperation) MAP, khususnya selepas Bersih 5 apabila bilangan peserta Melayu boleh dikatakan sama atau lebih daripada bukan Melayu.
Mustapha dalam entri Facebooknya, antara lain, menulis: “The NST can call the rally whatever it wishes. The society have already written off the 171-year old newspaper, largely on account that over the decades, its inability to tell the truth has declined exponentially.”
(NST boleh menggelar perhimpunan itu apa saja yang disukainya. Masyarakat telah menyisihkan akhbar berusia 171 tahun itu kerana kemampuannya untuk menyatakan kebenaran telah jatuh merudum sejak beberapa dekad kebelakangan ini.)
Penghakiman Mustapha sukar dipertikaikan kerana beliau baru sahaja berhenti daripada menjadi pengarang akhbar itu. Kini, Facebook beliau yang kritikal terhadap Barisan Nasional, Umno dan pemerintahan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, adalah antara yang paling ramai pengikut.
Saya cukup faham kerana saya sendiri mengambil keputusan sukar untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) pada tahun 2000 kerana tidak berdaya lagi melayan kerenah sesetengah ahli majlis tertinggi Umno.
Selama saya mengenali Mustapha, bahasa pengantar beliau adalah Inggeris. Jadi saya agak terperanjat membaca nukilan beliau dalam bahasa Melayu yang mengagumkan – lancar, mudah dan fokus.
Seorang lagi wartawan MAP yang mengambil langkah membebaskan diri daripada putar belit adalah Ku Seman yang baru-baru ini meninggalkan Utusan Malaysia. Dalam ulasannya kepada komen Mustapha, beliau berkata: “Mus, pukul 11 pagi semalam saya dah tahu tajuk akhbar-akhbar kita. Syukur saya dah lama tak baca. Baca Astro Awani online saja.”
MAP semakin tidak berkesan sebagai ejen propaganda
Imlan Abadi, bekas wartawan kanan Bertia Harian dalam posting Facebooknya pula, antara lain, berkata: “Hari ini akhbar online jadi tumpuan saya dan warga dunia. Ia paling murah dan mudah dicapai. Wibawa media juga boleh dinikmati melalui tulisan yang juga berwibawa. Akhbar yang kurang wibawa tentunya bukan aset untuk minda. Selamat membaca. Bacalah akhbar berwibawa seperti juga baca kehidupan yang lebih fokus.”
Awan Hitam Selubungi MAP
MAP sukar melakukan perubahan agar senada dengan perubahan ekonomi, selera audiens dan teknologi kerana mereka dikongkong oleh pemilik dan pemerintah.
Akibatnya, pengedaran akhbar dan penontonan televisyen, kecuali segmen hiburan, sukan dan agama, telah jatuh merudum. Pengedaran akhbar yang memuncak pada tahun 1990-an mula mendatar pada awal tahun 2000.
Terdapat kaitan yang rapat di antara pengedaran akhbar dengan sentimen politik prokerajaan dan anti-kerajaan. Contohnya, populariti MAP pada tahun 1990-an sampai awal 2000 disertai oleh kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 1995, 1999 dan paling gemilang 2004.
Tetapi Tun Abdullah Ahmad Badawi gagal mengekalkan populariti PRU 2004 apabila beliau memperkenalkan dasar yang tidak popular seperti mengurangkan subsidi petroleum dan membiarkan budak-budak Tingkat 4 “merampas” kuasa. Peristiwa ini diekori serta-merta oleh kejatuhan audiens MAP, khususnya yang dimiliki oleh kerajaan dan parti-parti BN.
Pada pilihan raya 2008, BN yang dipimpin oleh Abdullah, kehilangan suara dua pertiga dan dengannya nasib MAP milik Umno/BN menjadi semakin malang. Keadaan mereka terus meruncing walaupun Abdullah berundur dan diganti oleh Mohd Najib pada tahun 2009. Pada PRU 2013 pencapaian BN di bawah Mohd Najib lebih hambar daripada PRU 2008.
Kemerosotan ekonomi yang berlaku selepas itu berserta dengan ledakan teknologi komunikasi menyebabkan audiens dan pasaran MAP jatuh merudum. Kecuali Sinar Harian, tren penjualah semua akhbar adalah menurun.
Akhbar bebas terus relevan dan berdaya maju
Berita Harian merosot kepada 106,754 naskhah, Berita Harian Ahad (109,811), Kosmo (187,967), Kosmo Ahad (205,520), Metro (179,231), Metro Ahad (207,119). The Star merosot kepada 248,413, The Sunday Star (246,652) manakala New Straits Times yang bertindak sebagai lidah rasmi kerajaan dan Umno dalam bahasa Inggeris tinggal 62,113 naskhah sahaja dan New Sunday Times (64,850).Ambil contoh Utusan Malaysia yang berupa lidah rasmi dan pengarak panji-panji Umno. Pengedarannya mencapai kemuncak pada tahun 1990-an di sekitar 350,000 naskhah sehari. Tetapi pada 31 Disember tahun lalu, perangkaan Biro Audit Pengedaran (ABC) menunjukkan jualan hariannya jatuh kepada 154,776 naskhah sahaja manakala edisi Ahad yang pernah melepasi setengah juta naskhah turun kepada 336,233.

Begitu juga dengan stesen televisyen kawalan kerajaan dan milik Umno. Majoriti penonton mereka yang masih tinggal adalah golongan otai yang menonton segmen agama dan hiburan tempatan manakala golongan muda menonton sukan.
Tiga faktor utama yang menjejas saiz audiens MAP adalah laporan berat sebelah dan pemutaran fakta, penghijrahan ke media atas talian dan kuasa membeli yang semakin menguncup akibat kelembapan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.
Keterdesakan MAP perdana menjadi lebih ketara apabila kejatuhan pengedaran dan audiens disusuli oleh kejatuhan pendapat iklan. Kejatuhan pendapatan iklan memberi kesan negatif kepada keuntungan mereka.
Utusan Melayu Berhad, penerbit Utusan Malaysia, misalnya mengalami kerugian sejak tahun 2012 walaupun telah mengurangkan kakitangan, melakukan penjimatan dan mendapat “subsidi” daripada Umno. Pembayaran gaji kakitangan pun ada kalanya tertangguh.
Kemerosotan audiens menjadikan MAP semakin tidak relevan sebagai ejen propaganda Umno, BN dan kerajaan. Di pihak lain pula, percubaan Umno, BN dan kerajaan berhijrah ke media atas talian dan sosial nampaknya lebih membawa mudarat daripada kebaikan. Reaksi audiens terhadap mesej Umno, BN dan kerajaan amat negatif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA