Isnin, 28 November 2016

MCA kecam PAS ugut halang pindaan akta kahwin sivil

Ti Lian Ker berkata beliau sangat kecewa PAS memberi amaran yang parti itu akan menghalang pindaan yang sekian lama ditunggu terhadap akta tersebut.
ti-lian-ker_Takiyuddin-Hassan_law_600
PETALING JAYA: MCA mencabar wakil rakyat pembangkang beragama Islam nyatakan sokongan terhadap ancaman PAS kepada golongan bukan Islam untuk menghalang cadangan pindaan terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA).
Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker berkata beliau sangat kecewa Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberi amaran kepada wakil rakyat bukan Muslim untuk menghalang pindaan yang sekian lama ditunggu terhadap akta itu.
“Mereka salah tafsir yang orang bukan Muslim hendak campur tangan dalam RUU persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah.
“Tidak ada quid pro quo kerana kita melindungi hak perlembagaan semua rakyat Malaysia, tak kira Muslim atau bukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ti berkata ancaman terhadap bukan Muslim itu tidak adil dan tidak relevan.
“Memang jelas PAS berniat menganiaya dan menekan kaum dan agama minoriti dan wanita
“Cadangan pindaan LRA ialah RUU yang dimulakan oleh kerajaan untuk membolehkan mualaf mendapatkan pembubaran perkahwinannya di mahkamah sivil.
“Ia juga bagi memastikan kewajipan perkahwinannya kepada bekas pasangan seperti ditetapkan dalam LRA dapat dikekalkan,” katanya.
Ti berkata sudah sekian lama pasangan bukan Muslim yang terabai sengsara kerana tidak menerima perlindungan daripada mahkamah sivil atau polis.
Katanya, cadangan pindaan terhadap RUU Hadi akan mendiskriminasikan wanita yang menjadi mangsa serangan seksual selain pesalah jenayah Muslim kerana berdepan hukuman lebih berat di bawah enakmen hudud.
“Pelaksanaan kanun jenayah perlu dikenakan saksama terhadap semua pesalah. PAS juga keliru yang Kanun Keseksaan diguna pakai kepada semua pesalah jenayah di Malaysia, warganegara atau tidak, Muslim atau bukan,” katanya.
Cadangan pindaan akta perkahwinan itu secara khusus menyatakan perlunya kedua-dua pihak dalam perkahwinan sivil memberikan kebenaran untuk anak mereka ditukar agama kepada Islam.

Maka, enakmen itu mencabar penghakiman mahkamah terdahulu yang perkataan “ibu bapa” dalam undang-undang sedia ada boleh membawa maksud hanya kebenaran salah seorang saja diperlukan.
Cadangan pindaan itu juga menetapkan kanak-kanak berkenaan akan kekal dalam agama ibu bapanya pada waktu perkahwinan mereka, jika salah seorang daripada pasangan itu kemudiannya memeluk Islam.
Ti berkata wakil rakyat termasuk daripada PAS perlu berkhidmat kepada semua tanpa mengira agama.
“Adakah wakil rakyat pembangkang beragama Islam akan secara terang menyatakan sokongan terhadap ancaman PAS itu atau mereka cukup berani menentang RUU persendirian Hadi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA