Isnin, 14 November 2016

MCA akan bantah RUU Hadi, kata Liow

Presiden MCA itu berkata, tindakan Hadi itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan menyalahkan DAP kerana membantu PAS untuk bangkit.
Liow Tiong LaiPETALING JAYA: MCA akan membantah rang undang-undang (RUU) persendirian yang diusulkan Presiden PAS untuk memperkasakan Mahkamah Syariah bagi melaksanakan hukuman jenayah.
Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bantahan parti itu terhadap RUU berkenaan pada perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-63, hari ini.
Liow berkata, cadangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.
Katanya, masyarakat Cina amat terganggu dengan RUU itu yang dilihat akan membuka jalan kepada pelaksanaan hukuman jenayah hudud untuk kesalahan Islam.
Liow menyalahkan pesaing parti itu, DAP kerana membantu PAS mencapai kuasa dan pengaruh sekarang.
Beliau berkata, PAS tidak pernah memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor antara 1978 hingga 2004.
“Bagaimanapun, pada 2008, PAS tiba-tiba memenangi 8 kerusi, terima kasih kepada sokongan DAP. Lebih buruk lagi, pada 2013, PAS menang lebih banyak kerusi.
“Mereka kini mempunyai 15 kerusi. Hari ini, walaupun mereka tidak berada dalam gabungan sama, DAP masih bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan Selangor,” katanya sambil menambah DAP hipokrit dengan meneruskan kerjasama dengan PAS, walaupun mendakwa hubungan mereka sudah putus.
Pada 26 Mei lalu, Hadi membentangkan usul RUU persendirian yang dikenali sebagai RUU 355 di Dewan Rakyat bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah, supaya Kelantan boleh mengenakan beberapa jenis hukuman jenayah Islam, termasuk hukuman berkaitan hudud, kecuali hukuman mati.

Mahkamah Syariah bergerak mengikut undang-undang negeri. Bagaimanapun, statut Persekutuan perlu dipinda bagi membolehkan bidang kuasa itu diperluaskan.
Hadi sudah mengemukakan usul memohon persetujuan daripada Dewan Rakyat untuk RUU yang akan dibentangkan. Jika diluluskan, seorang menteri kerajaan perlu membawa usul itu untuk dibahas dan undi.
Jika diluluskan Parlimen, ia akan membolehkan kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS melaksanakan hukuman jenayah seperti yang dibenarkan di bawah enakmen negeri tahun lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA