Khamis, 17 November 2016

Majlis Peguam: Polis, DBKL sila bantu himpunan Bersih

George Varughese berkata hak berkumpul secara aman dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan maka polis dan DBKL perlu membantu memastikan perhimpunan itu berlangsung secara aman.
George-Varughese-1
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam meminta polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan penganjur Bersih 5 untuk membantu memastikan perhimpunan umum pada Sabtu ini berlangsung dengan aman.
Naib presidennya George Varughese berkata hak berkumpul secara aman dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan meskipun beberapa sekatan dikenakan.
Katanya, Akta Perhimpunan Aman 2012 hanya memerlukan penganjur memaklumkan kepada polis yang mungkin perlu mengawal selia perhimpunan itu bagi tujuan keselamatan atau ketenteraman awam.
“Pematuhan untuk memberi makluman dan perkara lain tidak boleh dirumitkan atau menyekat pelaksanaan sah terhadap hak berhimpun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Varughese berkata dilaporkan penganjur memaklumkan kepada polis pada 28 Oktober.
Katanya, polis tidak ada kuasa melarang perhimpunan itu kerana tiada lesen diperlukan seperti yang dikenakan sebelum ini di bawah Akta Polis.
“Polis perlu menghormati, melindungi dan membantu pelaksanaan hak untuk berhimpun seperti dijamin perlembagaan,” katanya, menambah agensi penguatkuasaan undang-undang sebelum ini pernah bekerjasama dengan penganjur perhimpunan awam.
Varughese berkata Majlis Peguam juga bimbang dengan kenyataan dibuat ketua Baju Merah Datuk Jamal Yunos yang hendak melawan himpunan Bersih 5.

Katanya, perlu ada siasatan segera dan tindakan diambil kerana hak asas tidak boleh dikompromikan menerusi tindakan gengsterisme yang jelas.
Beliau berkata Majlis Peguam mendesak polis memberi alternatif kepada Baju Merah untuk membuat perhimpunan pada masa, tarikh dan tempat lain untuk mengelak konflik dengan peserta Bersih 5.
Katanya, Majlis Peguam juga akan menghantar pasukan untuk memantau apa yang berlaku pada hari itu dan sepasukan peguam turut berada di sana memberi bantuan guaman jika berlaku tangkapan.
Penganjur sudah pun mengumumkan perhimpunan akan diadakan di Kuala Lumpur dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
Bersih 2.0 menggesa rakyat Malaysia menyertai himpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA