Selasa, 29 November 2016

Mahkamah tolak permohonan habeas corpus Maria Chin

Mahkamah Tinggi tidak boleh mendengar permohonan habeas corpus Maria Chin kerana beliau sudah dibebaskan.
Maria-Chin_law_6001KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan habeas corpus difailkan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan dalam penghakiman lisan berkata, mahkamah itu tiada kedudukan untuk mendengar permohonan habeas corpus kerana Maria sudah dibebaskan.
“Mahkamah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri semalam memaklumkan beliau sudah dibebaskan.
“Responden tidak memfailkan sebarang afidavit untuk membalas habeas corpus,” katanya.
Nordin bagaimanapaun tidak mengarahkan sebarang pembayaran kos.
Maria berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Sebelum pendengaran itu, Peguam Kanan Persekutuan, Mohammed Al Saifi Hashim membuat bantahan awal terhadap permohonan habeas corpus itu.
“Ia adalah ‘akademik’ susulan pembebasannya semalam. Tidak ada isu untuk dibincangkan. Sebab utama habeas corpus ialah memohon pembebasannya yang mana beliau sudah bebas sekarang.”
Sementara itu, peguam Maria, Gurdial Singh Nijar berhujah permohonan habeas corpus itu belum lagi akademik.
“Beliau memohon pengisytiharan habeas corpus berhubung kesahihan penahanan itu. Walaupun sudah bebas, tetapi soalan masih kekal berhubung cara beliau ditahan,” katanya.
Beliau berkata, ada banyak isu berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma yang perlu dibangkitkan.

Maria ditahan di bawah Sosma pada 18 November lalu, sehari menjelang perhimpunan Bersih 5 di pejabat Bersih 2.0, Petaling Jaya.
Pada 22 November lalu, Maria memfailkan permohonan habeas corpus memohon pembebasannya di bawah Sosma serta-merta.
Dalam writ habeas corpus itu, Maria menamakan pegawai penyiasat Tham Lai Kuan, ketua polis negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.
Anak Maria, Azumin Yunos menerusi afidavit sokongan berkata, penahanan ibunya tidak mengikut Perlembagaan keranan kerajaan gagal menyatakan kenapa beliau ditahan di bawah Sosma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA