Jumaat, 4 November 2016

Mahfodz: PAS parti besar, tak perlu ikut cakap Husam, Amanah

Mahfodz berkata, PAS lebih besar daripada Amanah, jadi tidak mungkin mereka akan tunduk kepada parti serpihan itu.
PETALING JAYA: Datuk Husam Musa dan Amanah tidak mungkin dapat mempengaruhi keputusan PAS bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi memastikan pertandingan satu-lawan-satu menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Dr Mahfodz Mohamad.
Ketua Dewan Ulama PAS itu berkata, parti Islam itu lebih besar daripada Amanah, jadi tidak mungkin mereka akan tunduk kepada parti serpihan terbabit.
“Keputusan PAS bersetuju satu-lawan-satu tidak terpengaruh dengan sesiapa, termasuklah Husam atau Amanah, kita buat keputusan sendiri. Kita parti besar, kita ada 1 juta lebih ahli dan Amanah berapa orang sangat dan kita nak ikut cakap dia pula tak betul.
“Kenyataan Husam tak benar, memang pada dasarnya kita setuju satu-lawan-satu, tapi mestilah ada persefahaman dengan parti-parti lain. Kita buat keputusan bukan sebab dia (Husam), itu ego dia macam itulah,” katanya kepada FMT hari ini.
Husam dilaporkan yakin pendekatan Amanah di Kelantan berjaya menekan PAS sehingga parti Islam itu sedia bekerjasama dengan parti pembangkang lain untuk memastikan pertandingan satu-lawan-satu menentang BN pada PRU14.

Berucap di majlis makan malam Amanah Terengganu semalam, bekas naib presiden PAS itu berkata, walaupun tidak jelas dengan sikap PAS, parti Islam itu mula lunak dengan idea itu.
Husam berkata demikian merujuk kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Rabu lalu yang dilaporkan memberi amaran kepada DAP dan parti pembangkang lain tidak campur tangan urusan dalaman PAS, jika mahu hubungan dengan parti itu dipulihkan.
Mahfodz berkata, kenyataan Hadi bukanlah keputusan muktamad, memandangkan ia belum dibincang dengan parti pembangkang lain.
“Kita bincang dalam mesyuarat harian PAS, termasuk cadangan satu-lawan-satu, itupun belum muktamad lagi, ada syarat-syaratnya. Kalau kita nak duduk bersama Pakatan Harapan, kita tidak menerima bulat-bulat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA