Selasa, 15 November 2016

LINDUNGI NAJIB: OSA UNDANG2 LAPUK UNTUK SEMBUNYI SALAH LAKU – ABIM

Akta Rahsia Rasmi (OSA) adalah undang-undang lapuk yang menyembunyikan salah laku dalam kerajaan, kata Angkatan Belia Islam (Abim).
Ini berikutan hukuman penjara 18 bulan yang dijatuhkan ke atas anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli selepas didapati bersalah melanggar OSA kerana mendedahkan dokumen sulit.
Rafizi dikenakan pertuduhan terhadap pendedahan beliau mengenai kelewatan pembayaran pencen dan ganjaran kepada anggota tentera.
Abim berkata, undang-undang 1972 itu juga tidak tepat kerana ia tidak menentukan istilah ‘rahsia rasmi’ dan membenarkan sebarang maklumat ditutupi oleh seorang menteri, menteri besar atau ketua sebuah negara.
“Daripada meletakkan had hanya pada dokumen yang akan menimbulkan suatu risiko serius dan boleh dibuktikan kepada keselamatan negara, akta itu menetapkan satu istilah umum, menunjukkan bahawa apa-apa dokumen boleh tergolong sebagai rahsia.
“Tambahan pula, pengelasan apa-apa dokumen sebagai rahsia boleh dibuat dengan pegawai awam yang dilantik itu tanpa sebarang perlindungan terhadap klasifikasi yang tidak perlu dan tidak wajar seperti yang termaktub di bawah seksyen 16A OSA,” kata Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan lewat semalam.
Katanya, tindakan itu tidak selaras dengan demokrasi untuk keterbukaan melalui Kebebasan Maklumat (FOI) dan undang-undang perlindungan pemberi maklumat.

Lindungi 1MDB

Dalam kenyataannya, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menegaskan negara jiran seperti Thailand bahkan mempunyai Akta Maklumat Rasmi 1997 yang membolehkan akses kepada maklumat kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia terus ketinggalan, dengan hanya Selangor dan Pulau Pinang mempunyai enakmen FOI.
Pengarah C4 Cynthia Gabriel berkata jika OSA digantikan dengan undang-undang FOI ia akan membolehkan penglibatan orang ramai dan kritikan membina terhadap kerajaan.
“Apa yang berlaku kepada Rafizi juga boleh berlaku kepada tiga bekas menteri, Mohd Shafie Apdal, Muhyiddin Yassin dan Ahmad Husni Hanadzlah, yang kini disiasat di bawah OSA.
“Ini menunjukkan penggunaan aktif OSA untuk menutup unsur-unsur rasuah dan salah laku 1MDB,” kata Cynthia.
Tiga menteri bekas kabinet itu disiasat kerana didakwa melanggar sumpah kerahsiaan mereka dalam ucapan mengenai 1MDB di Dewan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA