Selasa, 1 November 2016

Lebih 75,000 pekerja diberhentikan sejak 2015

Sektor kewangan dan insurance mencatatkan pemberhentian paling tinggi, diikuti sektor perkilangan, pengangkutan dan penyimpanan
Deputy-Human-Resources-Minister-Ismail-Abdul-MuttalibKUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia mendedahkan 75,819 pekerja diberhentikan sejak 2015.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata kontrak pekerjaan ditamatkan dalam dua cara – penamatan kontrak perkhidmatan oleh majikan atau melalui skim pemberhentian secara sukarela (VSS).
“Pada 2015, 44,343 pekerja diberhentikan, membabitkan 24,452 (55.1%) pekerja dalam kategori pertama, dan 19,891 (44.9%) pekerja memilih VSS.”
“Bagi tempoh 1 Januari sehingga September tahun ini, 31,476 pekerja diberhentikan, daripada jumlah itu 17,051 (54.2%) pekerja diberhentikan majikan manakala 14,425 (45.8%) memilih VSS,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) di Dewan Rakyat yang meminta jumlah pekerja yang diberhentikan kerja kerana ketidaktentuan ekonomi dunia.
Ismail berkata sektor kewangan dan insurans mencatatkan pemberhentian paling tinggi (17,568 orang), diikuti sektor perkilangan (9,203 orang) serta pengangkutan dan penyimpanan (6,512 orang).
Katanya sebab penamatan khidmat antara lain kerana ketidakstabilan pasaran, tiada atau merosotnya permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan, pengoptimuman teknologi komunikasi maklumat, penutupan perniagaan sepenuhnya atau sebahagian, pengecilan tenaga kerja, pengambilalihan syarikat, penstrukturan semula organisasi dan penggabungan syarikat.
“Kita bersimpati dengan para pekerja terbabit dan kementerian melaksanakan inisiatif untuk memastikan mereka boleh mencari peluang pekerjaan lain.
“Ini termasuk ekspo kerjaya di seluruh negara,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA