Selasa, 1 November 2016

Langkah tatih jauh Ahmad Husni

Selepas kira-kira 15 minit, dua lelaki melangkah keluar dari dewan tempat berlangsungnya acara syarahan 'isu-isu sensitif' di U8 Shah Alam itu.
Dalam riak wajah yang seakan menyindir seorang daripadanya terus melangkah masuk ke restoran nasi kandar 24 jam di bangunan itu memesan air.
Seorang lagi duduk di meja dan mula mengomel.
"Tak pandai bercakap. Dia macam nak jadi cikgu mengajar murid," katanya perlahan. Barangkali dia mengharapkan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah akan menjadi seperti seekor singa yang luka pada malam tadi.
Ahmad Husni tetaplah Ahmad Husni.
Di dalam dewan beliau bercakap dengan berhati-hati, memilih perkataan dengan betul dan pada ketika tertentu - spontan. Dia bukan Ahmad Husni yang dulu menteri kabinet.
"Pandai bercakap" itu sebenarnya relatif dan terletak pada nilaian seseorang. "Pandai" dan "ranggi" adalah dua perkataan berbeza dan definisinya boleh saja berbeza di mata seorang manusia pada aksi yang sama.
Kira-kira Ahmad Husni ketika bersyarah di Space U8 Shah Alam malam tadi adalah sama seperti Ahmad Husni yang pernah saya temu ramah ketika menjadi pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kira-kira dua dekad lalu.
Berucap sederhana, santai
Kelihatan baju yang menyarung badannya malam tadi adalah baju yang sama dipakai Ahmad Husni ketika ke Bukit Aman beberapa ja sebelumnya.
Ahmad Husni orangnya cermat dan tertib. Dia bukan seorang orator (pemidato) yang baik. Ahmad Husni nampak lebih kepada seorang 'abang' atau 'bapa' yang penyayang. Di depan mikrofon - rasanya - belum pernah kita melihat Ahmad Husni menjadi seorang pengucap yang berapi-api.
Sebagai seorang bekas menteri yang meletak jawatan, berbahas tentang 1MDB dan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman, Ahmad Husni adalah susuk noir sekarang. Ia mudah menarik rasa ingin tahu, kagum dan pada masa sama, harapan yang sangat tinggi.
Di serambi partinya Ahmad Husni sudah mula nampak terbuang. Ketika beliau ke Bukit Aman, entah siapa di kalangan ahli Umno yang ada bersama menemaninya. Yang ada kita nampak pada gambar disiar media, bersama-sama Ahmad Husni adalah orang kuat PKR dan DAP.
Bekas menteri kewangan kedua itu seorang yang baik. Justeru ketika berucap di depan kira-kira 200 orang penonton malam tadi sesi itu berlangsung dengan begitu sederhana dan santai.
Beliau bercakap mengenai banyak hal. Alam al-mulk dan al-malakut, misalnya. Juga tentang kepasrahan manusia untuk menerima takdir, serta perlunya seorang "leader" yang bukan berubah oleh keadaan tetapi mengubah keadaan.
Anggota parlimen Tambun itu turut bercakap mengenai keberanian, perubahan serta pengalamannya sebagai menteri kewangan nombor dua.
Tak bertemu media
Juga menarik, cerita beliau mentransformasi pejabat kakitangan daripada berdinding tertutup kepada pembahagi kaca yang telus. Di sana sini beliau bercakap - atau ditanya pada sesi soal jawab - tentang isu paling ingin diketahui ramai ketika ini, iaitu 1MDB.
Namun media tidak dibenarkan membuat rakaman. Atau petikan. Maka jadilah sesi ceramah Kepentingan Tadbir Urus Yang Baik Dalam menguruskan Kewangan Negara itu majlis terbuka yang tertutup.
Selesai majlis orang ramai mengambil peluang beramah mesra dengan Ahmad Husni. Sesetengahnya mengambil gambar bersama dalam suasana begitu mesra.
Di tepi dewan sekumpulan wartawan menunggu dan mencari ruang untuk menemuramah beliau.
Sejurus kemudian Ahmad Husni pun berjalan ke pintu keluar dan tidak memberikan sebarang kenyataan atau menjawab soalan media.

Sedikit sebanyak perwatakan Ahmad Husni mengingatkan kita kepada bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat awal beliau menjadi 'pemberontak' kepada partinya dulu.
Di sebalik pendirian dan ketegasan, mereka begitu berhati-hati dengan media. Kenyataan yang dibuat amat terkawal. Mereka bagaikan selesa menjadi ular yang menyusur akar. Sama ada ular itu berbisa atau tidak adalah hal yang lain.
Akhirnya Muhyiddin sedar menjadi ahli politik yang baik tidak memadai dengan hanya sikap "baik". Keberanian, kelicikan dan kelincahan berpencak perlu ada - dan tidak kurang pentinya - dizahirkan.
Ahmad Husni belum sampai ke tahap itu. Mungkin beliau ada sifir politiknya sendiri. Maklumlah, walaupun sudah meletak jawatan menteri, bendahari parti, ketua bahagian dan jawatan lain yang berkaitan, beliau masih ahli Umno. Justeru - mungkin - langkah yang perlu diambil adalah begitu, berhati-hati, sangat cermat dan sesekali nampak takut-takut.
Sedangkan keadaan di mata rakyat kini adalah kronik. Hari ini harga petrol dan diesel meningkat 15 sen, manakala harga minyak masak akan diapungkan mengikut harga pasaran (kecuali untuk paket 1kg).
Memanglah ada kemungkinan harga minyak itu akan turun pada bulan depan. Namun berita duka nestapa itu masuk ke kepala masyarakat ketika tanda tanya tentang 1MDB masih belum terjawab. Malah Ahmad Husni sendiri bertanya tentag syarikat milik kerajaan itu ketika berbahas di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ahmad Husni mungkin kekal dengan langkah politik selamat seperti sekarang. Ada kemungkinan beliau akan mengubah pendekatan selepas ini.
Sebagai ahli politik berpengalaman Ahmad Husni sepatutnya tahu langkah yang diambilnya sekarang seperti bertatih ketika tokoh lain - Muhyiddin contohnya - sudah mula berlari walaupun agak terlewat.
Politikus yang berkesan ialah politikus yang baik, lincah, lihai dan berani jika tanggungjawab yang dipikulnya adalah demi rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA