Isnin, 14 November 2016

Laluan PH tumbang BN tanpa PAS sukar, kata penganalisis

Katanya, walaupun pelbagai isu berlaku melibatkan kepimpinan negara, ia tidak mampu memberi kekuatan kepada pembangkang selagi isu ideologi antara parti politik gagal diselesaikan.
Dr-Sivamurugan-Pandian
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak akan mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) berdasarkan kedudukan semasa parti pembangkang ketika ini, kata penganalisis.
Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata gabungan pembangkang perlu menyelesaikan perbezaan agenda dalam parti komponen jika bercita-cita menawan Putrajaya.
Katanya, masalah ideologi dalam PH perlu diselesaikan terlebih dulu kerana sering wujud percanggahan yang menyukarkan penyatuan sedangkan BN sejak sekian lama memang ada nilai kompromi dan pengorbanan dalam konteks gabungan besar.
“Sebagai contoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak berpihak kepada PH kerana ia terpecah kepada 3 penjuru,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana konvensyen pertama PH mampu menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Penganalisis politik Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata pembangkang akan berdepan kesukaran merampas tampuk kepimpinan Putrajaya selagi PH gagal menarik PAS bersama gabungan mereka.
“Kemelut dalam PH dan hubungan dengan PAS perlu ditangani dengan baik. Walaupun banyak isu negara sedang berlaku selagi tidak ada perpaduan sesama pembangkang agak sukar merealisasikan impian menawan Putrajaya.

“Malah tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia PPBM masih memikirkan terma dan menanti PAS bermakna PH belum cukup kuat lagi pada masa sekarang.
“Persepsi rakyat terhadap pergelutan dalaman juga perlu ditangani kerana bimbang ditolak rakyat seperti dalam pilihan raya Sarawak,” katanya.
Kelmarin Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap menerusi konvensyen PH berkata hanya satu cara saja untuk menewaskan BN iaitu dengan bersatu – pakatan pembangkang perlu berdaftar sebagai satu parti, guna manifesto dan logo yang sama.
Malah gabungan pembangkang nampak sukar apabila Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan membatalkan majlis menandatangani perjanjian menyertai PH yang dijadualkan dibuat ketika konvensyen itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA