Khamis, 17 November 2016

Kurang 24 jam menteri pendidikan tarik balik pelantikan bekas model sebagai penasihat

Pegawai media Mahdzir ketika membuat pengesahan itu berkata, sebab penarikan itu tidak perlu dimaklumkan.
Geethanjali1
PETALING JAYA: Kurang 24 jam selepas bekas model dilantik sebagai penasihat khas media menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bertindak menarik balik pelantikan Datuk Geethanjali G.
Pegawai media Mahdzir ketika membuat pengesahan itu berkata, sebab penarikan itu tidak perlu dimaklumkan.
“Sah (penarikan balik pelantikan itu). Rasanya sebab-sebab itu tidak perlu dimaklumkan. Itu keputusan menteri. Hanya menteri sahaja tahu sebab-sebab,” kata pegawai media Mahdzir kepada FMT hari ini.
Geethanjali bagaimanapun menafikan menerima surat penarikan balik pelantikannya sebagai penasihat khas media kepada Mahdzir dan berkata, tidak logik jika beliau sendiri tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai keputusan menteri.
“Saya tidak terima surat (penarikan pelantikan) lagi. Saya macam biasa sahaja. Menteri masih belum telefon dan maklumkan kepada saya untuk penarikan itu semua, belum lagi. Tidak ada dimaklumkan.
“Kalau ada penarikan, menteri mesti akan maklumkan kepada saya tentang penarikan. Betul palsu. Tak logik. Sebelum dapat dekat tangan saya, macam mana dia boleh dapat? Saya pun tak dapat.
“Sumpah saya tak dapat lagi surat itu,” katanya kepada FMT sambil menambah beliau meneruskan tugas baharu itu seperti biasa, ketika ini.
Semalam, bekas peserta akhir Miss Malaysia Universe 2009, bekas model dan ahli MIC itu menerusi Facebooknya mengumumkan tugas baharunya untuk menasihati Mahdzir dalam hal ehwal media.

“Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, Geethanjali G juga akan bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak media untuk menyampaikan apa yang dicetuskan oleh Yang Berhormat menteri kepada rakyat,” tulisnya.
Bagaimanapun, menerusi surat bertarikh 16 November yang dilihat FMT hari ini, pelantikan itu ditarik balik serta-merta.
“Penarikan ini dibuat kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Segala kesulitan amat dikesali,” tulis Mahdzir dalam suratnya kepada Geethanjali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA