Jumaat, 18 November 2016

Kurang 24 jam Bersih 5, polis mulakan tangkapan, rampasan


Menjelang himpunan Bersih5 esok, pihak polis mula bertindak menangkap Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan Ahli Jawatankuasa sekretariat gabungan tersebut, Mandeep Singh Karpal.
Mereka dilapor dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya petang tadi selepas polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu pejabat Bersihdi Petaling Jaya, Selangor.
Terdahulu, kedua-dua mereka tidak dibenarkan keluar dari pejabat tersebut atau berhubungan selama hampir dua jam.
Sebanyak 10 komputer riba dan kenyataan bank serta gaji Bersih turut dirampas polis mengikut maklumat daripada Tweet Bersih.
Mandeep Singh turut memberitahu kira-kira 10 anggota polis terlibat dalam serbuan terbabit manakala pihak Bersih diwakili peguam untuk menguruskan hal berkaitan.
Beliau juga berkata, serbuan berkenaan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu kegiatan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke pada masa ini ditahan di Bukit Aman untuk soal siasat ekoran ucapannya pada Konvensyen Pakatan Harapan, 12 November lalu.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu dilapor memberitahu dirinya dimaklumkan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.
Antara ucapannya pada konvensyen pertama Pakatan Harapan itu adalah mengajak rakyat 'menjatuhkan' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya kedaulatan negara ini dapat dipulihkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA