Khamis, 10 November 2016

Kumpulan anti-TPPA berhati-hati dengan janji Trump

Walaupun mereka akan menyambut baik dengan tangan terbuka sekiranya Presiden baru Donald Trump menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), namun kumpulan anti-TPPA percaya ia mungkin tidak berlaku.
Timbalan pengerusi kumpulan Bantah TPPA, Azlan Awang berkata mungkin terlalu simplistik untuk pihaknya mempercayai Trump akan mengotai janjinya kepada rakyat Amerika untuk menolak TPPA, memandangkan lobi yang kuat oleh syarikat multinasional semasa pentadbiran Presiden Barack Obama.
Menurut Azlan, kemenangan Trump boleh membawa kepada beberapa senario.
Satu, katanya kepada Malaysiakini, Obama dan Kongres - kedua-duanya terhutang budi kepada perniagaan besar - akan cuba untuk meluluskan TPPA semasa tempoh peralihan.
Trump hanya akan mula memegang jawatan presiden pada Januari tahun depan dan Bantah TPPA melihat kelulusan perjanjian itu oleh Kongres sebagai "tidak mungkin tetapi boleh berlaku".
"Tetapi sebagai presiden, Trump masih boleh menyekatnya daripada dikuatkuasakan," jelas Azlan (foto).
Satu lagi senario, katanya, tiada apa yang berlaku dalam tempoh terdekat, tetapi selepas mengambil alih jawatan presiden, Trump mungkin tunduk kepada tekanan dan lobi syarikat multinasional besar.
Beliau boleh bersetuju untuk meneruskan TPPA dengan perubahan kecil dan dengan lebih banyak konsesi dari negara-negara rakan yang lain, kata Azlan, sambil menambah bahawa Amerika pernah berbuat demikian sebelum ini berkaitan perjanjian perdagangan dua hala yang lain.
Sebahagian daripada perubahan yang mereka mungkin teruskan ialah manipulasi mata wang dan memberi lebih banyak konsesi ke atas harta intelek (IP), katanya.
Azlan menjelaskan bahawa tidak mungkin bagi negara-negara lain untuk meneruskannya tanpa penyertaan Amerika kerana mereka tidak akan mempunyai kekuatan ekonomi untuk melaksanakannya.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan baru dalam hubungan Malaysia dengan China juga akan mempunyai kesan ke atas bagaimana Malaysia melihat TPPA.
Di peringkat serantau, hujahnya, perkembangan rundingan-rundingan seterusnya berkaitan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang melibatkan ASEAN dan negara-negara lain di rantau Asia, akan menunjukkan sama ada terdapat masa depan bagi perjanjian perdagangan dan pelaburan gaya-Amerika Syarikat.

TPPA bertujuan untuk menghubungkan negara-negara Pasifik dalam bidang ekonomi yang lebih besar, dikatakan bagi menggalakkan perdagangan terbuka, walaupun ada yang bimbang ia adalah untuk membolehkan akses lebih luas ekonomi Amerika ke pasaran Asia, sehingga menjejaskan ekonomi lebih kecil.
Trump, yang menang pilihan raya Presiden AS semalam, berjanji untuk menarik balik penglibatan AS dalam perjanjian perdagangan itu, antara lain atas sebab untuk melindungi pekerjaan rakyat Amerika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA