Rabu, 2 November 2016

Kuasa saya tak sehebat Khairy, kata Zam

Zainuddin Maidin mendedahkan kuasa beliau terbatas kepada RTM, manakala semua media lain dikawal Geng Tingkat 4.
zainuddin-maidin-khairy-1
PETALING JAYA: Tan Sri Zainuddin Maidin menyangkal tuduhan yang mendakwa beliau punca Barisan Nasional tewas perang siber, sebaliknya menuding jari pada Khairy Jamaluddin.
Bekas wartawan itu akui memegang portfolio menteri penerangan dalam Jemaah Menteri tetapi pada hakikatnya beliau terbatas kerana media dikuasai “Geng Tingkat 4”.
“Pada 2008, saya sebenarnya tidak berkuasa apa-apa pun pada masa itu, sebab yang berkuasa atas kesemua media adalah Jabatan Perdana Menteri sendiri,” katanya kepada FMT.
“Kuasa saya terbatas kepada RTM sahaja. Walaupun saya cuba untuk menguasai lain-lain tempat, tetapi tidak dihormati sebab yang menguasai adalah Tingkat 4.”
Menurut Zainuddin, Geng Tingkat 4 diketuai Khairy Jamaluddin, menantu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau menjawab dakwaan buku biografi ‘Being Abdullah Ahmad Badawi, yang mendakwa tindakannya menolak penggunaan media sosial antara penyebab BN kehilangan 4 negeri dan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat, akhirnya membawa kepada kejatuhan Abdullah.
Penulis Datuk Wong Sulong mendakwa Zainuddin tergolong dalam kumpulan konservatif yang berpuas hati dengan kawalan ke atas media arus perdana.
Zainuddin menolak label yang dipakaikan padanya itu.
“Saya berusaha juga mengadakan interaksi dengan pihak media sosial. Kita anjurkan seminar di bawah usaha pengarah Jabatan Penerangan pada masa itu.”
Beliau akui hubunganya dengan media sosial tidak sentiasa mesra.
“Saya juga hentam media sosial sebabnya mereka tidak mengikut arahan, terlalu bebas.
“Itu memang saya kritik tetapi saya tidak mengawal mereka.”

Sebenarnya, dakwa Zainuddin, Khairy menggunakan kekuatan media yang ada pada Geng Tingkat 4 untuk menyerang lawan dan kawan, termasuk dirinya.
“Semua kawasan diserang dengan membongkar perkara-perkara yang tidak betul. Umpamanya kawasan saya sendiri (Parlimen Merbok) dinyatakan saya tidak bagi rumah kepada orang miskin, walhal sudah serah kunci.
“Tetapi TV3 pergi ambil orang PAS, dan mengatakan saya tidak membantu orang yang memberikan rumah kepada orang miskin, walhal sudah beri semua. Banyak kawasan yang terpaksa RTM sendiri pergi untuk perbaiki keadaan kawasan yang diserang TV3,” katanya.
Zainuddin berkata peranannya dalam pentadbiran Abdullah berbeza dengan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sebagai Timbalan Menteri Penerangan dan setiausaha Parlimen tetapi saya berkuasa. Sebelum PRU 2004, saya berkuasa penuh menjalankan media dan juga menjalankan RTM,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA