Khamis, 17 November 2016

KSN: Potong gaji, buang kerja jika sertai BERSIH5

Penjawat awam diingatkan supaya tidak menyertai sebarang kumpulan atau perhimpunan yang tidak diluluskan di ibu negara Sabtu ini atau berhadapan tindakan tatatertib termasuk buang kerja atau potong gaji.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang memberikan amaran itu berkata bentuk tindakan yang akan diambil ke atas penjawat awam yang terbukti terlibat dalam perhimpunan tidak sah hujung minggu ini bergantung kepada tahap
penglibatan mereka.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang sekiranya gambar mereka terlibat dalam perhimpunan tidak sah itu tersiar dalam mana-mana media.

"Kalau ada (penjawat awam) yang jadi pemimpin, tindakan yang dikenakan berbeza daripada yang lain (penjawat awam yang menjadi peserta). Tindakan akan diambil berdasarkan gambar serta aduan yang diterima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Puspanita Kali Ke-4 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata lazimnya penjawat awam tahu yang mereka tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan haram dan beliau berharap mereka tidak akan menyertai perhimpunan kali ini.

BERSIH, yang memilih warna kuning sebagai lambang perjuangan mereka, adalah sebuah pergerakan yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya di Malaysia, dan merancang untuk menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, satu lagi pergerakan, yang menamakan mereka kumpulan Baju Merah, mendakwa Bersih bertujuan menggerakkan agenda asing untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan mengugut untuk menganjurkan perhimpunan balas di tempat sama dan pada hari yang sama.


Pada 8 November, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kumpulan BERSIH5 masih belum memenuhi prasyarat untuk menganjurkan sebarang perhimpunan pada Sabtu ini.

Beliau berkata kedua-dua notis yang dihantar penganjur gagal mematuhi prasyarat dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Khalid turut dilaporkan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur BERSIH5 dan kumpulan baju merah sekiranya kedua-duanya masih berhasrat meneruskan perhimpunan masing-masing pada hari berkenaan.

3 ulasan:

  1. Tapi perlembagaan membenarkan perhimpunan aman. Kenapa ksu halang hah?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tapi KSU takan halang sekiranya menyertai baju merah utk berhimpun. Silap2 di naikkan pangkat lagi.

      Padam
    2. 10:11, begitulah ceritanya dulu,kini dan selamanya dan di mana2!

      Padam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA