Selasa, 22 November 2016

KSN: Penjawat awam terlibat Bersih 5 dibuang kerja, potong gaji

Ketua setiausaha negara berkata, kakitangan kementerian yang terlibat dalam perhimpunan itu dikesan menerusi rakaman CCTV dan gambar dalam media sosial.
Tan-Sri-Dr-Ali-Hamsa
SEPANG: Semua kementerian diminta mengenal pasti kemungkinan pegawai dan kakitangannya terlibat dalam perhimpunan Bersih 5.0 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata demikian apabila dimaklumkan terdapat “1 atau 2 penjawat awam’ dipercayai pensyarah, terlibat dalam perhimpunan itu.
“Penglibatan mereka (individu dipercayai pensyarah) dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan juga gambar dalam media sosial. Saya sudah minta kementerian yang berkaitan melihat sekiranya pegawai-pegawainya terlibat.
“Bagaimanapun, perkara ini perlu disahkan. Kita tidak boleh terus mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan CIO Convex Sektor Awam 2016 di sini hari ini.
Ali berkata hukuman yang akan diambil terhadap penjawat awam yang terlibat dalam perhimpunan itu bergantung kepada bentuk kesalahan yang dilakukan.
Minggu lepas, Ali mengingatkan penjawat awam agar tidak menyertai sebarang perhimpunan yang tidak diluluskan pada Sabtu dan boleh berdepan tindakan tatatertib termasuk buang kerja atau potong gaji.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Ali berkata kerajaan mensasarkan untuk mencapai matlamat menerbitkan 7,000 set data dalam Portal Data Terbuka Sektor Awam menjelang 2020.
Setakat ini, terdapat 1,336 set data diterbitkan di dalam portal yang menawarkan kepada orang ramai senarai set data daripada agensi kerajaan dan kementerian untuk menggunakan data itu tujuan inovasi dan menghasilkan penyelesaian baharu demi manfaat orang ramai atau menjana ekonomi.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) bagi membolehkan set data terbuka mereka diterbitkan.
Oleh demikian, saya menggalakkan setiap orang supaya melayari laman data.gov.my dan memaklumkan kepada kami tentang cara untuk menambah baik platform ini.

“Portal ini tidak akan berjaya melainkan terdapat banyak nilai perniagaan dijana oleh masyarakat atau aplikasi mudah alih dijana menggunakan data ini,” katanya.
Persidangan yang bertemakan “Kerajaan Digital Ke arah Warga Digital” merupakan satu platform bagi agensi-agensi Ketua Pegawai Maklumat (CIO), rakan kongsi strategik daripada industri dan juga pakar antarabangsa dan tempatan untuk meneroka transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Persidangan 2 hari ini bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada agensi yang berjaya melaksanakan projek ICT sektor awam.
Ia menyediakan platform perbahasan melibatkan 16 ahli panel antarabangsa dan 10 ahli panel tempatan mengenai justifikasi dan idea-idea baharu dalam memberi pertimbangan berhubung pelaksanaan ICT yang lebih baik dalam sektor awam.

1 ulasan:

  1. Bodoh punya kakitangan awam. Kaki dan tangan tak ada kerja lain selain drp nak memantau cctv? Mcm polis rahsia soviet atau komunis china

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA