Khamis, 3 November 2016

KPN pertikai Suhakam sokong langgar undang-undang demo

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata memperjuangkan kebebasan bersuara perlu diimbangi dengan menegakkan hukum.
Nation,-police,-Khalid-Abu-Bakar,-Bersih-2.0,-Red-Shirts,-Suhakam
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 dan Gerakan Baju Merah melanggar undang-undang.
“Saya tak faham tindakan Suhakam. Suhakam kata Baju Merah dan Bersih boleh menunjuk perasaan tetapi undang-undang menyatakan tidak boleh (berhimpun di Dataran Merdeka).
“Suhakam tak patut buat begitu (menyokong pelanggaran udnang-undang). Kita perlu ikut undang-undang yang ditentukan Akta Perhimpunan Aman (APA),” kata Khalid di wacana “Strategising Measures to Combat Serious Crimes” di Hotel Sunway Resort dan Spa hari ini.
Khalid menjawab kenyataan Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph semalam yang berpendirian kedua kumpulan berhak berhimpun selagi ia dilakukan secara aman dan tidak menceroboh kawasan masing-masing.
Joseph berkata polis mempunyai sumber secukupnya untuk memastikan keselamatan penunjuk perasaan.
Khalid bagaimanapun berkata memperjuangkan kebebasan bersuara perlu diimbangi dengan menegakkan hukum.
“Polis menyokong hak asasi manusia tetapi dalam masa yang sama kita diberi tanggungjawab untuk memelihara keselamatan negara.”

Khalid menegaskan tindakan akan diambil terhadap Bersih dan Baju Merah sekiranya mereka meneruskan perhimpunan yang dirancang.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua gerakan tidak dibenarkan mengadakan sebarang perhimpunan supaya tidak berlaku pertembungan.
Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri mengesahkan kedua gerakan sudah menyerahkan notis 10 hari seperti yang ditetapkan undang-undang, tetapi kawasan yang akan menjadi lokasi tunjuk perasaan belum mendapat persetujuan pihak berkuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA