Rabu, 9 November 2016

Kos RM5.2 juta acara pelancongan, SPRM digesa siasat Ng Yen Yen

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat bekas menteri pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yeng mengenai perbelanjaan lebih RM5.2 juta oleh kementerian itu di parlimen yang diwakilinya sebelum ini di Raub, Pahang.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata perbelanjaan yang diketengahkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira kementerian itu dibuat tanpa justifikasi.
"Menurut laporan itu, arahan datang dari ibu pejabat kementerian pelancongan. Siapa yang beri arahan? Mesti menteri, betul?" kata Loke dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Laporan PAC yang dibentangkan semalam menunjukkan 12 acara yang diadakan di Raub antara September 2011 hingga Januari 2012 melibatkan kos RM5.2 juta.
Laporan itu menunjukkan tidak ada justifikasi untuk perbelanjaan tersebut dan ketibaan pelancong di Raub hanya 0.4 peratus daripada statistik di seluruh negara.
Acara paling mahal adalah sambutan Tahun Baru Cina pada 28 Januari 2012 yang menelan belanja RM1.3 juta.
"Apa makanan dihidangkan yang begitu mahal yang memerlukan RM1.3 juta? Apakah cenderahati? Adakah terdapat rasuah? Ng perlu jelaskan sendiri. SPRM perlu siasat perkara ini," kata Loke.
Satu lagi acara mahal diketengahkan dalam laporan PAC itu adalah sambutan Krismas dan Hari Raya Aidilfitri untuk pemain industri pelancongan pada 21 Disember 2011 yang menelan belanja RM981,000.

Dalam laporan PAC, ketua setiausaha kementerian pelancongan dan kebudayaan ketika itu Tan Sri Ong Hong Peng berkata Raub dipilih untuk acara-acara tersebut sebagai sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Raub juga dipilih sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan kawasan di Pahang itu sebagai destinasi pelancongan baru.
Ahli Parlimen Raub, Mohd Ariff Sabri Aziz bagaimanapun berkata, kesan daripada acara-acara ini tidak dapat dilihat.
"Raub mempunyai sejumlah air terjun, tetapi kamu tidak boleh lihat apa-apa kesan daripada usaha (Ng) untuk membangunkan industri pelancongan di Raub," kata Mohd Ariff.
PAC bagaimanapun tidak membuat sebarang cadangan khusus mengenai perkara ini dan hanya menggesa kementerian pelancongan dan kebudayaan memastikan prosedur kewangan dipatuhi untuk mengurangkan risiko dan rasuah dalam acara kementerian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA