Rabu, 16 November 2016

Kos ECRL sepatutnya lebih rendah, baki RM25 bilion mungkin digelapkan?

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Semakin banyak persoalan timbul berhubung projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menelan belanja tidak masuk akal sebanyak RM55 bilion seperti diumum Perdana Menteri sebelum ini.
Terkini adalah persoalan kemungkinan wujudnya cubaan menggelapkan sejumlah RM25 bilion daripada dana projek bernilai RM55 bilion yang dianugerah kepada syarikat milik China iaitu China Communications Construction Company (CCCC) itu.
tony_rafiziKekhuatiran ini timbul apabila wujud perbezaan ketara kos RM55 bilion projek tersebut dengan kajian menyeluruh (Feasibility Study) oleh HSS Engineering Group yang menunjukkan kos projek itu sepatutnya 72.4 peratus jauh lebih rendah.
“Kami cabar Menteri Unit Perancangan Ekonomi Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dedahkan kepada umum mengenai kajian feasibiliti yang dijalankan oleh HSS Engineering Group yang dilantik oleh East Coast Economic Region Development Council (ECERDC).
“Menteri berkenaan juga perlu beri sebab kepada rakyat Malaysia kenapa Perdana Menteri memberikan kontrak kepada CCCC pada kos RM91.7 juta bagi satu kilometer sedangkan ianya 72.4 peratus lebih mahal berbanding RM53.2 juta hasil kajian HSS yang bagi setiap kilometer,” kata kenyataan bersama Pakatan Harapan hari ini.
Kenyataan bersama Pakatan Harapan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli.
Menurut mereka, kegagalan kerajaan mendedahkan kajian HSS itu mengesahkan kebimbangan umum wujudnya cubaan untuk menggelapkan kos lebihan projek ECRL itu.
“Kegagalan untuk berbuat demikian mengesahkan kekhuatiran terbesar rakyat Malaysia bahawa projek dengan kos berlebihan sebanyak RM55 bilion ECRL ini merupakan cubaan untuk menyedut sehingga RM25 bilion untuk membayar hutang 1MDB, bagi menutupi puluhan bilion ringgit yang telah diubah secara haram di luar negara,” kata mereka.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan kajian terhadap kontroversi yang melanda projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 kilometer tersebut, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melantik HSS Integrated Sdn Bhd untuk melaksanakan sebuah kajian menyeluruh.
Kajian itu termasuk mengenai kajian kejuruteraan, kajian kepenggunaan, sistem, operasi landasan, kajian alam sekitar, penggunaan tanah dan kajian kesan sosio-ekonomi dan kajian penilaian ekonomi dan kewangan.
HSS Integrated merupakan sebahagian dari HSS Engineers Sdn Bhd sebuah syarikat kejuruteraan yang tersenarai dalam Bursa Malaysia dan telah terlibat dalam banyak projek-projek mega di Malaysia.
Syarikat itu terlibat dalam projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik dari Ipoh ke Padang Besar, laluan MRT Sungai Buloh ke Kajang, penyambungan laluan LRT Ampang dan projek laluan keretapi KLIA Express.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA