Sabtu, 19 November 2016

Kita tak perlu mengganas, kata Adam Adli

Aktivis jelaskan klip video seorang peserta berbalah dengan peserta lain mengenai mencabar halangan polis sekitar Dataran Merdeka
adam-adli
PETALING JAYA: Seorang peserta tunjuk perasaan yang berdegil mahu mencabar halangan yang polis dirikan di Dataran Merdeka diamankan selepas diberitahu tindakannya hanya akan menggugat kejayaan himpunan Bersih 5.
Aktivis Adam Adli berkata lelaki itu menggesa peserta supaya bertembung dengan pihak berkuasa, supaya mereka boleh berarak ke Dataran Merdeka.
Laluan ke mercu tanda itu dikawal polis dengan kekuatan meriam air.
Satu rakaman video tersebar tersebar di media sosial menunjukkan lelaki itu berbalah dengan bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan sebelum Adam mencelah dan mengamankan keadaan.
Adam berkata semua orang punyai hak berbeza pendapat tetapi tunjuk perasaan hari ini tidak boleh digagalkan.
“Pihak berkuasa turun dengan meriam air dan akan menyekat kita daripada menjejak kaki ke Dataran jadi kita hanya perlukan rancangan lain untuk capai tujuan kita,” kata Adam.
Katanya perhimpunan itu menemukan rakyat pelbagai hasrat dan pemikiran, tetapi penyelesaian yang aman boleh dicapai disebalik semua perbezaan mereka.
“Sepanjang 2 bulan lepas kita menahan sabar dan bertolak-ansur, dan cuba menunjukkan teladan yang baik. Kalau tiba-tiba hari ini kita bertukar ganas, sia-sialah usaha kita dalam tahun-tahun sebelum ini.”
“Itu yang cuba saya sampaikan kepada beliau dan akhirnya beliau faham,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA