Rabu, 30 November 2016

Khairy guna sajak Melayu Mudah Lupa serang Dr M

Berucap di Perhimpunan Agung Umno 2016, Khairy Jamaluddin berkata tindakan Dr Mahathir ketika ini berbeza 180 darjah dengan tindakannya ketika memegang tampuk pemerintahan negara.
khairy-mahathir-1
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini menggunakan puisi “Melayu Mudah Lupa” yang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2001 untuk menyerang bekas presiden parti Melayu itu.
Khairy berkata tindakan Dr Mahathir ketika ini berbeza 180 darjah dengan tindakannya ketika memegang tampuk pemerintahan negara.
“Beliau pun sendiri pernah berkata, Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, Bersih dipertikai. Sekarang, merayu rakyat sertai Bersih. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Soros dikritik, sekarang sertai demo yang dibiayai Soros.
“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu lempar Anwar pelbagai tuduhan. Sekarang bersalaman bertukar senyuman, entah jujur atau tidak. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, bila ditanya pasal reformasi. Sekarang mengejar tepukan di pentas lawan.
“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Mat Sabu dicaci dihina. Sekarang teman bergelak ketawa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu konon pejuang bangsa. Sekarang seganding musuh bangsa.
“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu pertikai kewujudan Keadilan. Sekarang, mesra dengan kepimpinannya, siap sahut Bebas Anwar. Melayu mudah lupa, Melayu Mudah lupa. Dulu, musuh dipersoal. Kini semeja, mengejar kuasa,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno 2016 di PWTC hari ini.
Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata jasa Dr Mahathir dalam membangunkan negara akan diingati, dan pengkhianatan dilakukan bekas perdana menteri itu terhadap perjuangan Umno akan turut dikenang.
“Melayu dalam dewan ini ingat sumbangan Tun. Juga ingat solidariti parti mempertahankan Tun. Tetapi Melayu di dalam dewan ini juga ingat hipokrasi Tun.
“Juga ingat ‘diktatorship’ Tun. Juga ingat kepincangan Tun. Juga ingat penyelewengan pada zaman Tun. Juga ingat semua pemimpin yang dihina oleh Tun.

“Dan yang akan kami paling ingat, yang Melayu dalam dewan ini akan sentiasa beringat, adalah pengkhianatan Tun kepada perjuangan parti ini.
“Keghairahan Tun tubuh parti untuk melawan kami, kesanggupan Tun menghina parti keramat ini, kerakusan Tun membunuh parti Umno ini,” katanya.
Khairy turut mengingatkan Pemuda supaya tidak memandang rendah parti serpihan Umno iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Suka atau tidak, jangan kita pandang enteng sasaran Parti Pribumi ialah pengundi tegar kita dan kubu kita.
“Parti Pribumi tidak akan bertanding di kawasan seperti Lembah Pantai, Kuantan atau Seremban. Sebaliknya mereka akan menyerang simpanan tetap Umno, kawasan seperti Muar, Langkawi mungkin Rembau,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA