Isnin, 7 November 2016

Ketua Polis Negara ‘belaan’ Umno?


Datuk Mahfuz OmarDatuk Mahfuz OmarAhli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan kemungkinan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai ‘belaan’ Umno apabila menyiasat tiga bekas anggota Kabinet ekoran ucapan yang menyentuh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat.
Bertubi-tubi soalan kepada orang nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, beliau turut bertanyakan status siasatan terhadap isu berkenaan apabila Khalid sebelum ini mendakwa ucapan bekas menteri terbabit menganggu siasatan.
“Adakah KPN dah jadi 'belaan' Umno? Jika benar ucapan dan perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen berkaitan 1MDB mengganggu siasatan, apakah ada siasatan yang dijalankan oleh PDRM tentang 1MDB? Sudah berapa lama siasatan berkaitan 1MDB yang dijalankan oleh PDRM? Apa statusnya?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menyifatkan Khalid sebagai jahil perlembagaan apabila akan menyiasat bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahmad Husni ekoran kontroversi itu.
“Saya tidaklah ambil pusing sangat sebelum ini kerana yang membuat bising menuntut supaya tindakan undang-undang diambil ke atas tiga bekas menteri tersebut adalah dari kalangan pemimpin-pemimpin Umno atau NGO-NGO ‘belaan’ Umno.
“Namun, apabila KPN sendiri mengeluarkan kenyataan yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan, ianya menggambarkan betapa jahil dan ceteknya pengetahuan orang nombor satu PDRM (Polis Diraja Malaysia) berkaitan asas undang-undang dan Perlembagaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin Pas itu berkata, KPN harus faham bahawa secara umumnya hak mana-mana Ahli Parlimen untuk bercakap berkaitan apa sahaja perkara sewaktu berbahas di Parlimen adalah dilindungi oleh hak keistimewaan dan kekebalan daripada sebarang tindakan undang-undang seperti peruntukan dalam Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh sebab itu, jika benar sekalipun terdapat pelanggaran terhadap Akta Rahsia Rasmi (OSA), ianya tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah dan tidak boleh didakwa oleh kerana ucapan yang dibuat di dalam Parlimen adalah dilindungi dan kebal dari sebarang tindakan mahkamah,” ujarnya.
Mahfuz berkata, tindakan membahas atau membangkitkan isu governans, kewangan dan jenayah seperti skandal 1MDB tidak langsung termasuk dalam definisi ‘kecenderungan menghasut’ seperti mengikut Seksyen 3(1) Akta Hasutan.
“Bahkan jika disemak dalam hansard Parlimen, perbahasan berkaitan skandal 1MDB selama ini, sama ada oleh tiga bekas menteri berkenaan atau mana-mana Ahli Parlimen sekalipun, jauh sekali untuk dianggap sebagai menyentuh atau mempersoalkan apa-apa perkara, kedudukan atau keistimewaan yang ditetapkan oleh Perlembagaan,” tegasnya.
Demokrasi sempit > bold
Mengulas lanjut beliau menyifatkan tindakan menyalahgunakan kuasa polis sehingga ke institusi Parlimen yang sepatutnya selamat daripada sebarang penindasan menunjukan ruang demokrasi sempit di negara ini.
“Saya tidak faham dari mana nasihat atau tunjuk ajar soal asas undang-undang yang KPN dapat, apabila secara semberono beliau mengatakan perbahasan tiga bekas menteri di Parlimen yang menyentuh kes 1MDB boleh ditafsirkan sebagai suatu kesalahan yang disiasat di bawah Akta Hasutan,” katanya.

"Tindakan tiga bekas menteri membangkitkan isu 1MDB di Dewan Rakyat tidak melanggar sumpah kerahsiaan kerajaan dan Akta Hasutan kerana mereka sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Sumpah kerahsiaan tidak boleh diguna untuk menyembunyikan salah laku kerana ia bukannya undang-undang jenayah, sebaliknya hanya peraturan atau etika dalam kerajaan.
“Begitu juga OSA dan Akta Hasutan tidak terpakai atas apa yang diungkapkan oleh tiga orang bekas menteri tersebut kerana ianya tidak termasuk dalam definasi rahsia rasmi dan kecenderungan menghasut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mahfuz mendesak supaya KPN memberhentikan serta-merta penyiasatan ke atas ketiga-ketiga bekas anggota Kabinet terbabit.
“Saya juga menyeru rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain sama ada Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara supaya bangkit mempertahankan hak dan keistimewaan Ahli Parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA