Khamis, 10 November 2016

KESERONOKAN AKAN MEWARNAI RAKYAT MALAYSIA JIKA BN DAPAT DIKALAHKAN


Keseronokan adalah penting dalam kehidupan. Ia kadang-kadang merupakan motivasi untuk terus hidup dengan ceria dan gembira. Keseronokan tidak semata-mata berkaitan hiburan, muzik, melancong atau seumpamanya, tetapi juga disebabkan perkara-perkara baru yang dapat dirasai.
Bagi seseorang yang biasa makan nasi, sesekali dapat makan steak atau spagheti, ia adalah keseronokan. Mereka yang selalu makan kari kepala ikan merah atau kerapu  di kedai mamak, dapat merasa kepala ikan salmon, tentunya juga suatu keseronokan.
Mendapat hadiah daripada anak, walaupun cuma sebuah topi atau sarung telefon bimbit, adalah keseronokan bagi seorang ayah. Seorang isteri atau ibu juga akan merasa seronok apabila diberikan pinggan mangkuk atau set perhiasan dapur yang baru.
Pokoknya, perkara atau benda baru adalah menyeronokkan. Begitu juga dalam politik dan pentadbiran negara, kita sentiasa memerlukan perkara-perkara baru untuk memastikan kehidupan kita terus dalam keadaan yang menyeronokkan.
Tun Mahathir Mohamad tiba-tiba bertukar menjadi pengkritik Najib Razak, keluar UMNO, kemudian menubuhkan parti baru dan bergabung dengan pembangkang, adalah keseronokan dalam dunia politik negara. Jika tidak, segalanya-galanya seperti lesu dan kurang stamina.
Berada dalam pemerintahan UMNO dan BN sejak lebih 60 tahun lalu, harus kita akui sudah tiada lagi keseronokannya. Lebih-lebih lagi dengan Najib  menjadi Perdana Menteri dan Rosmah Mansor menjadi bayangan kepada banyak kecelaruan dan kerosakan dalam negara, keseronokan sebenarnya sudah lama menghembuskan nafas akhirnya.
Jika Najib, UMNO dan BN terus menang lagi selepas PRU 14 nanti, lagi tiada keseronokan akan kita hadapi. Semua yang akan berlaku selepas itu semunya sudah boleh dijangka.
Kita pasti  akan melihat lebih banyak perbelanjaan dan pembaziran, sementara Najib terus dengan retorik dan lakonan politiknya yang memualkan.
Kita juga akan menyaksikan Zahid Hamidi secara perlahan-lahan akan dipinggir dan dikurangkan kuasanya semata-mata untuk memberi laluan kepada sepupu Najib, Hishammuddin Hussein. Anak Tun Hussein Onn itu mungkin akan dijadikan Menteri Kewangan, kemudian Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Najib.
Hishammuddin kemudian akan menaik dan melorongkan orang-orangnya pula dan tidak mustahil Khairy Jamaluddin akan berada di lapisan yang seterusnya.
Semua skripnya  sudah boleh dijangka jika UMNO dan BN berkuasa lagi. Ia langsung tiada keseronokan kerana rakyat akan tetap juga dengan susah derita menanggung beban kenaikan kos, cukai GST, penarikan subsidi, kemewahan golongan yang berkuasa dan sebagainya lagi.

Tetapi, cuba bayangkan keseronokannya jika Najib, UMNO serta  BN kecundang dan kuasa baru mengambil alih kerajaan nanti?

Kita bukan saja akan dapat Perdana Menteri baru yang disertai dengan penghapusan cukai GST serta beberapa pendekatan lain yang baik untuk rakyat, tetapi kita juga akan ternanti-nanti untuk menyaksikan bagaimana nasib Najib seterusnya.
Kita akan berteka-teki sama ada Najib akan berdepan pelbagai siri pendakwaan di mahkamah atas banyak kecurangan yang pernah dilakukannya, khususnya berkaitan 1MDB, terus berjuang melalui UMNO atau barangkali akan pindah bermastautin di luar negara?
Begitu juga dengan menteri-menteri UMNO yang ada ini, apakah mereka akan terus kekal dalam negara atau bagi yang kaya raya dan banyak masyuuk di sana sini, apakah mereka terus setia mempertahankan parti atau akan memilih kehidupan bebas di negara lain?
Setelah UMNO hilang kuasa, kita juga mungkin melihat Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin akan bangkit menyalahkan Najib kerana tidak mahu berundur lebih awal dan kerananya telah menyebabkan mereka terlepas peluang untuk menjadi Perdana Menteri.
Di mana pula beradanya nanti Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Annuar Musa, Nazri Aziz, Ahmad Maslan, Idris Haron, Ismail Sabri dan sekian ramai pemimpin pengampu setelah UMNO hilang kuasanya?
Lebih penting, kebenaran tentang skandal 1MDB, Jho Low, Riza Aziz dan segala-galanya hanya mungkin terdedah jika UMNO dan BN dapat ditumbangkan.
Selagi Najib terus berkuasa, hanya harapan kosong yang dijanjikan kepada kita mengenai syarikat pelaburan paling bermasalah itu.
Jika mahu disenaraikan, banyak sekali perkara-perkara baru yang akan muncul satu persatu dan tidak dijangka kesudahannya jika Najib, UMNO dan BN dapat dikalahkan.

Tidakkah ia merupakan keseronokan kepada kita dalam meneruskan kehidupan dan menghadapi hari-hari mendatang nanti?
Oleh itu, sebagaimana pilihan pengundi Amerika Syarikat yang telah mencetuskan keseronokan dunia setelah memilih Donald Trump sebagai Presiden yang baru, pengundi-pengundi PRU 14 akan datang juga tidak harus melepaskan peluang untuk menampilkan keseronokan bagi diraikan oleh 30 juta rakyat Malaysia.
Mulakanlah tekad itu mulai sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA