Khamis, 3 November 2016

Kerjasama Politik: Pakatan Harapan buat perbincangan secepat mungkin

Pakatan Harapan bakal mengadakan perbincangan secara rasmi bersama Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dengan secepat mungkin bagi membincangkan mengenai bentuk kerjasama menjelang PRU 14 akan datang.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, menerusi perbincangan tersebut nanti, terdapat dua intipati penting yang akan dibincangkan secara bersama iaitu pembentukan kerjasama pembangkang yang kuat dan meneruskan agenda reformasi.
Saifuddin Abdullah “Inilah dua perkara yang dibincang dengan mana-mana pihak sekalipun dan kita akan adakan perbincangan ini secepat mungkin,”katanya kepada Sinar Harian.
Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima jemputan untuk mengadakan perbincangan dengan Pas dan Pakatan Harapan berhubung bentuk kerjasama menjelang PRU 14 akan datang.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai penglibatan Pas, Saifuddin memaklumkan bahawa perbincangan antara Pakatan Harapan khususnya PKR dengan parti Islam itu tidak pernah putus dan sentiasa berterusan.
“Bukan saja di peringkat nasional tetapi kita juga adakan perbincangan di negeri. Ini adalah kerana di Selangor, Pas adalah sebahagian daripada kerajaan negeri yang dipimpin PKR,”katanya.
Menyentuh mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, Saifuddin memaklumkan bahawa Pakatan Harapan mengalu-alukan kesediaan Pas untuk berbincang dengan parti-parti pembangkang bagi memastikan pertembungan satu lawan satu bagi menjatuhkan Umno-BN.
Saifuddin berkata, beliau yakin hubungan Pakatan Harapan, Pas dan mana-mana parti pembangkang lain tidak pernah berada di peringkat perang sivil.
“Ia hanyalah pendirian dalam perkara-perkara tertentu. Sekiranya kita meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya, maka saya yakin kerjasama blok pembangkang dapat diwujudkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA